Rabu, 19 Julai 2017

Selepas ‘Ubah’ DAP Cipta ‘Tsunami Melayu’ Untuk Pikat Pengundi Cina




Selepas menggunakan slogan ‘Ubah’ untuk menghadapi PRU 13, kini DAP mencanang slogan baharu ‘Tsunami Melayu’ untuk memastikan momentum pengundi Cina kekal menyokong pakatan pembangkang pada PRU 14.

Slogan ‘Tsunami Melayu’ adalah tidak lebih daripada satu usaha untuk menakut-nakutkan pengundi Cina untuk terus mengundi mereka, kata Datuk Chong Sin Woon.

Sepertimana slogan ‘Ubah’ yang mendakwa kerajaan Putrajaya akan bertukar tangan pada PRU 13, slogan ‘Tsunami Melayu’ adalah versi yang sama, kononnya akan berlaku kebangkitan pengundi Melayu untuk memangkah pembangkang dan pengundi Cina perlu bersama-sama pembangkang untuk merealisasikan impian itu kata Chong yang juga Ketua Pemuda MCA.

“Pembangkang sebenarnya bimbang bahawa lebih ramai orang Cina kini menyokong Barisan Nasional.

“Ini terbukti dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta tinjauan yang dijalankan oleh MCA dan DAP,” katanya dilaporkan The Star.

Chong berkata tinjauan bulanan yang dijalankan oleh MCA sejak dua tahun lalu menunjukkan sekitar 35% pengundi Cina kini kembali menyokong Barisan.

“Pada 2013, ia hanya antara 15% dan 20%.

“Malah DAP tahu tinjauan yang telah mereka jalankan dan (mereka) bimbang, jadi (mereka mencipta slogan baharu) Tsunami Melayu,” katanya.

Chong berkata pengundi Cina memberi sokongan yang baik kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008 dan peratusan itu meningkat lagi pada pilihan raya 2013.

“Pada masa itu, tongkat utama mereka adalah Karpal Singh.

“Setelah kematian beliau, DAP merosot nilai-nilainya dan bersedia untuk bekerjasama dengan orang-orang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, dan ini juga telah mengecewakan orang ramai (pengundi Cina),” katanya.

Chong berkeyakinan pada PRU 14 nanti, pengundi Cina akan kembali menyokong MCA dan Barisan Nasional.

“Kami di MCA yakin dapat merampas beberapa kerusi yang kami hilang sebelum ini.

“Lebih ramai pengundi Cina akan kembali kepada kami kali ini kerana mereka telah memberikan peluang kepada pembangkang dua penggal untuk melakukan perubahan tetapi mereka gagal,” katanya sambil menambah terdapat wakil rakyat pembangkang tidak turun ke lapangan selepas dipilih menjadi wakil rakyat.



Pada Ogos 2015, pemikir DAP, Liew Chin Tong menegaskan hanya faktor ‘Tsunami Melayu’ sahaja akan menjadi penentu kemenangan parti pembangkang pada PRU 14.

Chin Tong berkata, sekiranya 10 peratus pengundi di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) bertukar arah, maka kerajaan mungkin bertukar tangan dalam PRU-14.

Katanya, ‘Tsunami Melayu’ merupakan penentu keadaan itu memandangkan pengundi kaum itu menguasai kebanyakan kerusi Parlimen.

Ujarnya, kewujudan ‘vakum’ dalam politik Malaysia buat julung-julung kalinya memberi peluang kepada parti pembangkang untuk mengembangkan tahap sokongan dalam kalangan pengundi muda Melayu.

Menurutnya ‘vakum’ politik itu muncul apabila ramai pengundi Melayu kini di atas pagar berikutan keadaan dalaman PAS dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Vakum seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan apa-apa sahaja boleh berlaku, ramai orang sedang memerhati keadaan ini.

“Sekiranya ‘pakatan rakyat baharu’ mengukuhkan tahap sokongan pada masa ini, maka dinasti boleh bertukar dalam pilihan raya akan datang,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.




‘Tsunami Melayu’ Hanya Strategi Politik Umpan Undi Cina – Liow

Tiada ulasan: