Sabtu, 15 Julai 2017

Selangor halang kerajaan persekutuan usir penduduk PPR


Iskandar Abdul Samad

MALAYSIA DATELINE

Kerajaan Negeri Selangor akan menghalang sebarang tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menghalau penduduk PPR Lembah Subang 1 yang enggan mendaftar dengan mereka.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor Datuk Iskandar A. Samad berkata, penduduk membuat aduan kepadanya bahawa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tempoh sehingga 22 Julai bagi penyewa di PPR itu untuk mendaftar.

Jika tidak, katanya, unit mereka akan diisytiharkan kosong dan akan disewakan kepada orang lain.

Katanya dalam satu kenyataan, Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Azmin Ali pada 13 Julai lepas memutuskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan terus menguruskan PPR tersebut.

Ujarnya, Mesyuarat juga menetapkan Kerajaan Negeri akan tetap dengan tuntutan RM60 juta dari Kerajaan Persekutuan untuk segala kos penyelenggaraan dan baikpulih sepanjang PPR itu diuruskan oleh MBPJ sejak 2001.

“Selagi tiada penyerahan secara rasmi dari Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak untuk menghalau sesiapa,” tambahnya.

“Kerja-kerja yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan di PPR itu juga tidak mendapat kebenaran MBPJ dan Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kemalangan, kecederaan atau kematian akibat kerja-kerja tersebut,” katanya.

Iskandar menegaskan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan untuk menghalang sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan mengusir penduduk.

“Ugutan Kementerian adalah selari dengan amalan Kerajaan Barisan Nasional yang menghalau rakyat dari tempat tinggal mereka seperti mana polisi 'Setinggan Sifar' ketika mereka menguasai negeri Selangor sebelum ini,” katanya

Tiada ulasan: