Ahad, 2 Julai 2017

Selalu bincang, jumpa, Kamaruddin yakin masalah PH akan selesai

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Segala masalah di dalam Pakatan Harapan (PH) boleh diselesaikan jika ada komunikasi berkesan sesama pemimpinnya, kata Pengarah Politik dan Dasar PKR, Datuk Kamaruddin Jaafar.
 
Itu respon beliau terhadap kebimbangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa pembangkang tidak bersedia untuk bertempur dalam pilihan raya kali ini kerana mempunyai banyak masalah dalaman yang belum selesai.
 
Guan Eng bagaimanapun tidak memperincikan apakah masalah dalam itu.
 
Kamaruddin, ketika dihubungi Antarapos berkata beliau yakin PH boleh menangani apa jua masalah yang timbul dan bersedia ke arah pilihan raya.
 
"Saya yakin dengan kepimpinan PH. Saya berharap oleh kerana PH terdiri daripada parti-parti yang mempunyai tokoh berpengalaman, sama ada daripada PKR yang mempunyai Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan lain-lain. 
 
"Begitu juga dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai tokoh-tokoh seperti bekas perdana menteri, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri besar. 
 
"Mereka yang berpengalaman ini juga turut bersama tokoh-tokoh yang lain seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dari Amanah, pun sama dengan Lim Kit Siang dan Guan Eng daripada DAP," ujarnya.
 
Kamaruddin percaya perbincangan merupakan kunci utama dalam menyelesaikan segala masalah atau pertelagahan yang timbul sesama pembangkang.
 
"Dengan pertemuan, perjumpaan dan mesyuarat yang diadakan secara kerap sudah tentu masalah boleh diselesaikan di dalam PH," katanya.
 
PH kini berdepan dengan pelbagai kemelut, termasuk pembahagian kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
Pakatan itu juga dilaporkan sedang bertelagah dalam soal memuktamadkan struktur kepimpinan PH.
 
PKR dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan PPBM untuk menamakan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing dinamakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PH.
 
Anwar pula menerusi surat yang ditulis baru-baru ini enggan PPBM mendominasi kepimpinan PH, selain tidak mahu soal calon Perdana Menteri menenggelamkan isu-isu utama yang membabitkan kepentingan pembangkang dan rakyat secara keseluruhannya.
 
Guan Eng juga enggan PPBM mendominasi PH.
 
 

Tiada ulasan: