Sabtu, 15 Julai 2017

Segera bentuk Pakatan Harapan negeri, pinta Amanah Selangor

 MALAYSIA DATELINE

Jamzuri Ardani


Amanah Negeri Selangor menyarankan Pakatan Harapan negeri dibentuk secepat mungkin ekoran pembentukan strktur kepimpinan dan pelancaran logo gabungan politik itu di peringkat nasional.

Pengarah komunikasinya, Jamzuri Ardani juga berharap agar organisasi Pakatan Harapan di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri (Dun) dibentuk secara rasmi bertujuan memantap dan mengukuhkan usaha bersama menghadapi BN dalam pilihan raya umum akan datang.

"Amanah Negeri Selangor meraikan dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan membentuk struktur kepimpinan dan pelancaran logo Harapan dalam usaha mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai sebuah entiti politik rasmi mewakili gabungan empat parti utama iaitu DAP, Keadilan, Amanah, dan PPBM.
"Kejayaan ini memberikan kelegaan kepada seluruh pendokong dan penyokong Pakatan Harapan di seluruh negara sebagai satu tanda aras penting dalam usaha menjatuhkan rejim kleptokrat BN di peringkat persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media.
Namun beliau meyakini masih banyak cabaran besar yang perlu dihadapi Harapan bagi memastikan matlamat menyelamatkan dan membina semula negara ini tercapai.

Bagaimanapun, tambah beliau Amanah Selangor memberikan sepenuh keyakinan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Harapan untuk merencana, membuat keputusan dan seterusnya mengendali segala usaha membebaskan rakyat dari kongkongan rejim kleptokrat BN.

"Rakyat sedang memerhati, menilai, dan menanti langkah-langkah politik seterusnya yang bakal ditampilkan kepada rakyat oleh Pakatan Harapan.

"Kami juga mendesak pihak Pendaftar Pertubuhan dan Suruhanjaya Pilihanraya agar dapat segera memberikan kelulusan ke atas permohonan pendaftaran dan logo Pakatan Harapan tanpa mencipta pelbagai alasan untuk melengah-lengahkannya," tegas beliau.

Amanah Selangor juga, tambahnya menyeru rakyat Selangor supaya berdiri teguh menyokong, membantu dan memastikan Harapan dapat membentuk kerajaan di Selangor dan di peringkat persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: