Khamis, 6 Julai 2017

Saya beri jaminan berundur lepas urusan selesai di Kelantan - Penyelia DUN PKR

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penyelia DUN Kuala Balah, Dr Hafidz Rizal Amran memberi jaminan akan berundur daripada jawatan itu selepas menyelesaikan urusan pentadbiran di kerajaan PAS Kelantan.
 
Malah beliau juga menganggap tempoh diberikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada pemimpin PKR berstatus lantikan politik termasuk Penyelia DUN dan Penyelia Parlimen untuk meletakkan jawatan sebagai boleh dipatuhi.
 
"Saya sebagai penyelia masih menjalankan tugas satunya yang perlu kita tahu adalah demi rakyat untuk menyelesaikan peruntukan-peruntukan yang melalui saya perlu saya beri kepada rakyat.
 
"Rakyat di akar umbi sengsara kalau pentadbiran ini menjadi kucar-kacir," katanya kepada Antarapos.
 
Hafidz Rizal menambah tumpuan kini diberikan untuk membantu rakyat di kawasan Kuala Balah melalui peruntukan yang diberikan.
 
"Buat masa sekarang kita masih lagi menyokong dasar-dasar kerajaan dalam hal membantu rakyat termiskin.
 
"Itu jelas dalam hal membantu rakyat termiskin dan juga membantu orang susah atau orang kurang upaya ini kita menyokong dasar ini kerana dasar ini sama dengan dasar parti kita," katanya.
 
Kata beliau, perkara yang tidak berkaitan dengan keperluan rakyat buat masa ini akan diketepikan.
 
"Tetapi hal-hal berkenaan isu negeri dan sebagainya contohnya yang ditimbulkan Amanah kes Lembah Binjai atau orang Asli itu perlu dibincangkan dengan lebih lagi supaya mendapat penyelesaian dan pada masa sama tidak membebankan rakyat," katanya.
 
Pada 16 Mei lalu, Wan Azizah mengarahkan semua lantikan politik di Kelantan melepaskan jawatan serta-merta susulan tindakan PAS memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR. 
 
Untuk rekod seramai 75 lantikan politik PKR berkhidmat dalam pentadbiran Kelantan termasuk Penyelia DUN dan Penyelia Parlimen.
 
Penyelia DUN PKR yang dilantik sebelum ini ialah di Paloh, Nenggiri dan Kuala Balah manakala bagi Parlimen pula mereka dilantik di Machang, Ketereh dan Tanah Merah.
 
PKR juga memenangi DUN Guchil pada pilihan raya umun lepas melalui Mohd Ruslan Putih.
 
Mengulas lanjut Mohd Hafidz yang juga Ketua AMK Kelantan berkata PKR peringkat nasional setuju memberi kelonggaran wakil parti di Kelantan menyelesaikan tugas di setiap jabatan, sebelum melepaskan jawatan.
 
"Ini melibatkan peruntukan yang perlu dituntut, tuntutan itu melalui urusan pentadbiran kerajaan negeri iaitu melalui pejabat tanah.
 
"Setelah hal ini dibincangkan dengan presiden melalui Pengerusi PKR Kelantan Abd Aziz Kadir maka menjadi sesuatu yang munasabah untuk presiden memberi kelonggaran kepada penyelia-penyelia untuk menyelesaikan urusan pentadbiran dan juga tuntuan-tuntutan mereka," katanya.
 
 

Tiada ulasan: