Rabu, 5 Julai 2017

Rumah amal RM1 semalam




Dengan hanya bayaran RM1 untuk satu malam, golongan daif dan memerlukan boleh berlindung di rumah amal yang dibuka aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, hari ini.

Semasa pembukaannya, Kuan berkata, pada asalnya kediaman rumah teres dua tingkat itu dibuat untuk waris kepada pesakit yang datang menemari saudara-mara mereka di hospital.

Terletak di Taman Puchong Utama, pintu dua unit rumah berkenaan, kata Kuan, turut dibuka untuk sesiapa yang memerlukan seperti mangsa dera yang mencari perlindungan sementara.

"Ketika ini ada satu keluarga berlindung di salah sebuah rumah itu kerana rumah mereka terbakar malam semalam," katanya.

Lelaki yang kehilangan kediaman itu, menurut Kuan, tidak dapat berkata apa-apa ketika dinyatakan dia boleh menumpang sementara di rumah berkenaan.

"Dia cuma cakap alhamdulillah.

"Seseorang tidak perlu cakap terima kasih dengan perkataan, jadi mereka nyatakan dengan hati," katanya.

Tidak hanya itu, Kuan menjelaskan, sesiapa pun boleh menumpang di rumah itu selama mana yang diperlukan, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan serta bayaran RM1.

Sebagai menghormati sensitiviti semua pihak Kuan juga menegaskan rumah kebajikan itu adalah "halal" kerana tiada daging babi atau lembu boleh dibawa masuk.

Penghuni juga dilarang mengadakan hubungan seks di premis berkenaan.

Tak tahu nama sesiapa

Mereka juga dikehendaki memastikan rumah terbabit sentiasa bersih. Sebagai balasan, penghuni bebas menggunakan segala kemudahan yang ada dalam rumah itu.

Buat masa ini, selain perabot asas, rumah berkenaan juga dilengkapi televisyen, pemanas air serta barang dapur. Kemudahan lain seperti komputer dan wifi juga akan disediakan kemudian.

Kuan menegaskan, jika ada penghuni yang didapati melanggar peraturan ditetapkan, dia berhak untuk menamatkan penginapan mereka di situ.

Mengenai kemudahan barangan dapur, Kuan berkata, ia adalah sumbangan daripada lebih 200,000 pengikutnya di Facebook.

Katanya, mereka menghulurkan bantuan barang makanan serta keperluan bilik mandi beberapa hari sebelum ini.

"Pengikut saya di Facebook datang ke sini menghantar bantuan. Banyak beras, barangan dalam tin, syampu, sabun. Kami macam nak pergi perang," katanya bergurau.

Penyumbang itu, kata Kuan, tidak dikenalinya pun, malah mereka enggan dikenali.

"Saya cuma tahu nombor plat kenderaan mereka," katanya.

Pada masa sama, rumah RM1 itu, kata Kuan, masih menyasarkan waris orang sakit yang datang dari jauh dan tidak mampu menyewa bilik lebih mahal sementara saudara mereka dirawat di hospital.

Kuan mendapat ilham membuka rumah itu apabila mendapat tahu kesukaran waris pesakit yang terpaksa bermalam di dalam kenderaan kerana tidak mampu menyewa bilik hotel.

"(Sebagai contoh) apabila kamu sayang ibu atau bapa kamu, kamu mesti mahu ada dekat dengan mereka.

"(Tapi jika kamu tak ada tempat lain untuk menumpang) ini akan memberi kesan kepada kesihatan.

"Sebenarnya ini sangat emosional. (Kami) cuba menyediakan kemudaan yang selesa untuk tinggal sementara," katanya.

Rumah RM1 itu menyasarkan waris pesakit yang ada di hospital kerajaan,seperti Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Institut Kanser Negara (IKN).

Sesiapa yang memerlukan, mereka boleh mendapatkan kemudahan itu melalui unit kemasyarakatan hospital berkenaan

Tiada ulasan: