Khamis, 20 Julai 2017

RoS tak berganjak, DAP mesti buat pemilihan semula

ANTARAPOS.COM

Post Pic
  
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mempertahankan keputusan mereka mengarahkan DAP melakukan pemilihan semula anggota jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC).
 
Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan maklumat daripada aduan anggota DAP sendiri.
 
"Setelah diselidiki, RoS berpuas hati maklumat daripada aduan-aduan tersebut adalah berasas," katanya dipetik Malaysiakini.
 
DAP diarah mengadakan pemilihan semula pada 7 Julai lalu melalui suatu kenyataan terbuka dibuat RoS.
 
Langkah itu perlu dilakukan DAP kerana RoS menganggap pemilihan CEC yang diadakan pada 29 September 2013 sebagai tidak sah.
 
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudian menganggap arahan RoS berkenaan "pelik" kerana dibuat selepas empat tahun pemilihan semula itu berlangsung.
 
Malam tadi pula DAP menegaskan mereka menangguhkan pemilihan semula itu kerana mahu RoS menjelaskan lebih lanjut mengenai arahan yang dikeluarkan pada 7 Julai lalu.
 
Kata Lim, tindakan RoS itu dibuat berdasarkan "berita palsu".
 
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang turut meminta untuk mengadakan pertemuan dengan RoS bagi membincangkan langkah seterusnya yang akan diambil.
 
Mohammad Razin berkata memang wujud percanggahan di antara jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan parti pada 2012 dan pemilihan semula pada 2013.
 
RoS berpendapat pemilihan semula itu sepatutnya dijalankan dengan senarai digunakan pada 15 Disember 2012, membabitkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.
 
DAP diberi tempoh 14 hari untuk menjawab arahan RoS itu dan kegalalan berbuat demikian membolehkan parti terbabit dikenakan tindakan mengikut Akta Pertubuhan 1966.
 
Namun Lim berkata, surat rasmi daripada RoS bertarikh 17 Julai lalu pula menyatakan laporan DAP mempunyai 865 cawangan pada 2012 sebagai tidak tepat.
 
Katanya, jumlah dirujuk RoS itu dibuat berdasarkan artikel "Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC" dibuat oleh seseorang dikenali sebagai "Father Augustus Chen".
 
Justeru DAP kata Lim mempunyai beberapa pilihan, termasuk mengadakan pemilihan semula dalam keadaan protes, selain mencabar arahan RoS melalui undang-undang.
 
Mengenai keinginan DAP bertemu, Mohammad Razin berkata, sebarang penjelasan daripada ROS akan dibuat secara bertulis.
 
"Menjadi hak DAP (juga) untuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya

Tiada ulasan: