Ahad, 9 Julai 2017

Rajin dampingi rakyat, mudah senyum layak jadi calon PRU14

DETIK DAILY



LARUT, — Individu yang boleh berdamping dengan rakyat dan sentiasa senyum apabila berjumpa rakyat layak untuk dipilih bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata calon yang disukai rakyat dan sentiasa berdampingan dengan rakyat serta dapat membawa inspirasi kerajaan diyakini mampu memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata ia merupakan satu transformasi kerajaan dalam usaha memastikan sokongan di peringkat akar umbi terus mantap.

“Ini memberi peluang kepada semua orang yang disukai serta mampu meneruskan perjuangan parti untuk dipilih sebagai calon,” katanya kepada pemberita  pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Dewan Majlis Daerah Selama di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang berkata hanya calon yang boleh menang dan disukai ramai akan membolehkan BN menang dua pertiga dalam PRU14.

Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata pendekatan itu menunjukkan parti tidak lagi meletakkan calon yang mempunyai kepentingan kepada individu tertentu, sebaliknya mampu berkhidmat kepada rakyat. — Bernama

Tiada ulasan: