Selasa, 11 Julai 2017

PRU14: Tidak berbangkit DAP tidak boleh bertanding – Mahfuz

FAHMI KHAIRUL




KUALA LUMPUR: DAP dan Pakatan Harapan capai kata persetujuan bertanding atas satu lambang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau difahamkan Pakatan Harapan dan DAP telah membuat satu persetujuan untuk bertanding dalam satu lambang.

“Pakatan Harapan telah pun mencapai kata sepakat untuk pastikan supaya penyertaaan dalam pilihan raya nanti atas satu lambang. Tidak berbangkit yang DAP tidak boleh bertanding pada pilihan raya nanti,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, semalam bahawa DAP tidak perlu takut untuk mengadakan pemilihan semula sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan.

Hishamuddin berkata demikian dalam sidang media selepas Merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras di Berjaya Times Square semalam.

Mahfuz berkata, beliau tidak berfikir ada perkara yang tersembunyi sedangkan mereka (DAP) telah melakukan perkara tersebut mengikut arahan seperti yang telah diarahkan oleh ROS.

“Saya tidak faham kenapa pemilihan semua ini tidak dapat disahkan diterima oleh ROS dan mengambil tempoh masa yang begitu lama. Persoalannya kenapa?

“Bagi saya tidak sewajarnya, sedangkan sepatutnya sewaktu kita telah pun lepas membuat pemilihan semula ini sudah boleh disahkan,” katanya.

Ketika diajukan soalan adakah kerajaan cuba untuk mematikan DAP sebelum PRU14 nanti, Mahfuz bernama tidak dapat dinafikan lagi ini adalah satu cubaan.

“Saya tidak nampak langkah ini akan berjaya. Percubaan ini hanya untuk memporak perandakan, timbulkan kegelisahan dan keresahan.

“Tapi sebaliknya bagi saya bahawa tindakan pihak kerajaan itu akan menjadikan masyarakat Cina ini akan begitu ‘solid’ untuk terus memastikan hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan,” katanya

Jumaat lalu, ROS mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Bagaimanapun,Setiausaha Agungnya yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mempertikaikan arahan ROS itu dan bertegas untuk tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu dengan alasan parti itu telah berbuat demikian pada 29 September 2013.


Tiada ulasan: