MOHON maaf kerana lama
tidak membuat tampalan baru. Suasana mental dan fizikal kurang mengizinkan.
Terlalu banyak bala bencana melanda tanah air kita sehingga, tidak dapat tidak,
kita yang peduli akan terganggu kerananya.
ANTARA punca beban minda: Dokumen PJP yang tular di media sosial |
Dalam menulis tampalan ini pun saya berasa bebanan mental yang berat kerana ia menyentuh orang dan pihak yang sentiasa dekat di hati saya – yang secara langsung dan tidak langsung menyentuh hati sanubari serta jasad saya.
Oleh kerana itu, saya
memerlukan para pelawat dan pembahas menolong saya untuk meringankan beban
tersebut. Saya mohon anda sekalian menjawab soalan berikut:
Adakah patut Permodalan
Nasional Berhad (PNB) membelanjakan RM173,800 bagi membeli nombor plat
kenderaan “PNB1” kononnya untuk tujuan “branding”?
Kepada yang belum tahu
cerita ini, kisahnya secara ringkas adalah seperti berikut:
Media sosial menularkan
satu dokumen bocor daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai hasil
pembidaan nombor plat istimewa dalam siri “PNB” iaitu nombor plat negeri Pulau
Pinang.
Dalam senarai yang
ditularkan itu, nama Permodalan Nasional Berhad muncul tujuh kali kerana
berjaya dalam proses pembidaan.
Saya membuat congak
jumlah yang dibayar oleh PNB untuk tujuh nombor yang terbit dalam senarai tular
itu. Jumlah yang saya peroleh ialah RM387,835. Saya tidak pasti kalau ada
nombor lain yang dilanggan oleh PNB.
Ini kira-kira saya: tolong semak takut tak betul |
Apa Perlunya Nombor Istimewa?
Saya ulangi, adakah
patut duit PNB digunakan untuk membeli nombor-nombor tersebut memandangkan PNB
adalah agensi amanah dan pegawainya adalah pemakan gaji? Mereka bukan pemilik
PNB yang boleh bermewah-mewah dengan duit PNB.
Senarai bocor dan tular JPJ itu
adalah sah. Pengerusi PNB sendiri, (Datuk Seri) Abdul Wahid Omar mengesahkan
kepada saya dalam bertukaran WhatsApp. (WhatsApp bukan whatsup).
Saya pergi terus kepada
Abdul Wahid (yang pernah saya kagumi dan menaruh harapan tinggi) setelah dua hari
gagal mendapat sebarang respons daripada bahagian perhubungan awam PNB.
Saya menghantar pesanan
WhatsApp berikut kepada Abdul Wahid: “Assalamualaikum. Maaf mengganggu. Saya
cuba beberapa kali hubungi Jabatan Perhubungan Awam PNB (Encik Khamis Omar)
tetapi tidak ada respons. Boleh bercakap dengan kerani saja. Saya hendak
pengesahan mengenai dokumen yang tular di media sosial, termasuk hasil posting
(mengenai) Rumah Terbuka PNB beberapa hari lalu, iaitu kononnya PNB
membelanjakan wang yang banyak membida nombor plat khas Pulau Pinang PNB.
Pengesahan ini untuk tulisan saya. Terima kasih.”.
Dalam responsnya Abdul
Wahid berkata: “Penempahan nombor pendaftaran kenderaan siri PNB adakah untuk
kegunaan kenderaan-kenderaan PNB. Ini termasuk cawangan ASB bergerak, MPV Hotel
PNB Perdana, dll dalam usaha mempertingkatkan penjenamaan PNB.”
Saya membalas: “Terima
kasih. I’ll duly reflect your argument in my writing. But you may want to
search your conscience whether spending RM173,800 for PNB1 is worth the publicty
drive and the penjenamaan.”
(Terima kasih. Saya akan
paparkan hujah saudara dalam tulisan saya. Tetapi saudara mungkin ingin
bertanya hati kecil saudara sama ada membelanjakan RM173,800 untuk PNB1 itu
berbaloi untuk tujuan diayah dan penjenamaan.)
Jadi selepas kita dedahkan
pemborosan ini, kita tengok siapa akan guna nombor PNB1 atau PNB11 itu – sang dewa atau dewi penghuni
kamar eksekutif atau cawangan ASB bergerak?
Para pembahas dan
pengunjung juga boleh tentukan yang mana lebih penting -- kenderaan rasmi
bernombor plat istimewa untuk eksekutif PNB atau pulangan pelaburan yang
baik untuk pemegang unit?
Saya segarkan ingatan para pembahas dan pengunjung bahawa dividen dan bonus Amanah Saham
Bumiputera (ASB) bagi tahun ini adalah antara yang terendah dalam sejarah. Begitu
juga dengan pulangan kebanyakan saham unit lain yang diuruskan oleh Amanah
Saham Nasional Berhad.
Masih segar di ingatan saya
bagaimana ketika pelancaran ASN pada tahun 1981 saya membuat liputan peristiwa
bersejarah itu di Batu Pahat dan Pontian, Johor. Saya menolong beberapa orang
kampung mengisi borang langganan dan ada yang menawarkan bayaran kerana menyangka
saya penulis petisyen.
Dalam dialog WhatsApp yang
lebih awal dengan saya, Abdul Wahid berhujah: “....I have been entrusted to
lead PNB, this very important national institution. Brought in Rahman as CEO in
October 2016. Unveiled our PNB Strategic Plan 2017-2022. Now focussed on
execution. Alhamdulillah initial outcome has been encouraging with market
capitalisation of our strategic companies increasing by RM25 billion in the
first 5 months of 2017. Indeed RM226b of
our RM266b funds under management come from 13 million unitholders. Will do my
best for PNB & the country.”
(....Saya diamanahkan
bagi memimpin PNB, institusi negara yang sangat penting. (Saya) membawa masuk
Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam bulan Oktober 2016. Memperkenalkan
Pelan Strategik PNB 2017-2022. Tumpuan sekarang kepada pelaksanaan.
Alhamdulillah hasil awal
menggalakkan dengan modal pasaran syarikat-syarikat strategik kita naik RM25 bilion dalam masa 5 bulan pertama tahun 2017. Sebanyak RM226 bilion daripada RM266 bilion tabungan di bawah pengurusan kita datangnya daripada 13 juta pemegang unit. Akan lakukan yang terbaik untuk PNB dan negara.)
menggalakkan dengan modal pasaran syarikat-syarikat strategik kita naik RM25 bilion dalam masa 5 bulan pertama tahun 2017. Sebanyak RM226 bilion daripada RM266 bilion tabungan di bawah pengurusan kita datangnya daripada 13 juta pemegang unit. Akan lakukan yang terbaik untuk PNB dan negara.)
Jawapan saya: “Thank
you. Your reputation has been tainted by your membership of the cabinet. So
it’s hard for me to accept at face value that you’ll go back to become a fine
manager thay you once were. I hope and pray that you can. Wallahuaklam.”
(Terima kasih. Nama baik
saudara telah tercemar apabila menjadi anggota kabinet. Jadi adalah sukar bagi
saya menerima secara lahiriah hakikat bahawa saudara akan kembali menjadi
seorang pengurus yang baik seperti dahulu. Namun saya berharap dan berdoa
saudara mampu. Wallahuaklam.)
Abdul Wahid membalas:
“Aamin. As a beneficiary of the DEB, I accepted (the) invite to do true
national service. I believe I have done my utmost for the country within the
one senatorship term with full integrity and to the best of my ability. I
believe I am more optimal in the corporate sector. Will do my best as the third
Chairman of PNB.”
(Aamin. Sebagai seorang
yang mendapat faedah daripada DEB, saya menerima jemputan (menyertai kabinet)
bagi menunaikan perkhidmatan negara tulen. Saya percaya saya telah melakukan
yang terbaik untuk negara dalam tempoh satu penggal sebagai Senator dengan
penuh kewibawaan dan sebaik yang terdaya. Saya yakin saya lebih cemerlang di
dalam sektor swasta. Saya akan lakukan yang terbaik sebagai Pengerusi ketiga PNB.)
Pengaruh Ketua
Boleh jadi ada orang
tidak setuju atau curiga kalau saya kata, saya melihat Abdul Wahid sebagai
seorang pengurus perniagaan yang pintar, tekun dan boleh dipercayai.
Tetapi itu adalah sebelum
dia digoda oleh kuasa dan kedudukan dengan menerima jemputan Perdana Menteri,
(Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul
Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, untuk menjadi anggota kabinet pada tahun 2013.
Abdul Wahid (kiri) tergoda dengan pujukan Najib |
Bagi saya, seorang pengurus atasan seperti Abdul Wahid mungkin baik di bawah kepemimpinan yang berwibawa dan cekap tetapi tidak optimum, malah mungkin menyeleweng, di bawah kepemimpinan kleptokratik.
Abdul Wahid adalah
antara “budak cerdik” yang dibawa masuk dan diberikan tugas berat ketika zaman
Tun Dr Mahathir iaitu berikutan Krisis Kewangan Asia 1997/98.
Pada dasarnya mereka ini
diberikan tanggungjawab untuk menyusun semula dan memajukan syarikat-syarikat
Bumiputera yang diambil alih (diambil balik) oleh kerajaan berikutan krisis
itu.
Saya juga mengenali Rahman
(Datuk Abdul Rahman Ahmad), Presiden dan Pegawai Eksekutif PNB. Dia pun seorang eksekutif yang bagus. Saya akui dan yakini
kebolehan mereka cuma saya bimbang mereka akan tergoda oleh kefoya-foyaan dan
terbawa-bawa oleh sikap tidak bertanggungjawab seperti yang melanda 1MDB.
Untuk itu, saya memberi
kata dua berikut kepada Abdul Wahid dalam perbualan WhatsApp 19 Jun: “I am
really worried about PNB. Sorry to say this. You shall have me as your worse
nightmare if things start to go wrong with PNB. So many lives depend on PNB
doing well.”
(Saya amat bimbang
mengenai PNB. Maaf saya terpaksa katakan. Saya akan menjadi igauan saudara yang
paling menakutkan sekiranya perkara buruk mula berlaku kepada PNB. Banyak nyawa
bergantung kepada kecemerlangan PNB.)
Dengan itu saya serahkan
Abdul Wahid, PNB dan nombor plat istimewa yang berharga ratusan ribu ringgit kepada
pembahas dan pembaca sekalian untuk menilainya pula.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan