Khamis, 27 Julai 2017

'Pi hantaq kat Palestin baguih'

MALAYSIAKINI


Hanya dengan satu komen Datuk Siti Nurhaliza Tarudin di laman Instagram membuatkan Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah benar-benar berang dengan penyanyi nombor satu negara itu.

Segalanya bermula apabila Siti menulis komen terhadap gambar pertembungan antara Pemuda Umno dan Pemuda BERSATU (ARMADA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini yang dimuatnaik di Instagram penyanyi Yasin Sulaiman.

Pada awalnya, Yasin memuatnaik gambar itu bersama coretan berita mengenai kekecohan berkenaan.
Siti kemudian menulis komennya berbunyi "Yang kuat gaduh tu patut hantaq pi Palestin baguih" bersama-sama emoticon ketawa.

Komen berkenaan turut dibalas Yasin dengan berkata 'Betul tu Tok Ti'.

Bagaimanapun Armand ternyata tidak berpuas hati dengan pendapat penyanyi kesayangan ramai itu.

'Bila Datuk K nak ke Gaza?'

Menulis di Facebooknya, Armand mempersoalkan sekiranya suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pernah ke Gaza untuk membantu penduduk Palestin di sana.

"Khas buat Siti Nurhaliza yang komen mengatakan kalau Pemuda Umno atau Armada berani pergilah ke Gaza Palestin.

"Untuk maklumat Siti Nurhaliza, Pemuda Umno sudah beberapa kali ke tanah Gaza Palestin. Cuba tanya bila Datuk K hendak ke Gaza Palestin?" soalnya.

Armand turut memuat naik video selama 3 minit 54 saat yang menunjukkan bukti Pemuda Umno ke Gaza dalam misi menghulurkan bantuan bersama-sama gambar lain di Facebooknya.

Selasa lalu, [pergaduhan hampir tercetus berdekatan PWTC apabila sekumpulan Pemuda Umno dan ARMADA bertembung.

Kekecohan itu bermula selepas sekumpulan anggota ARMADA mahu menghantar jemputan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0.

Bagaimanapun tindakan itu dihalang Pemuda Umno sehingga berlaku insiden tolak menolak.

Dalam kejadian itu, Ketua Penerangan ARMADA, Ashraf Mustaqim turut mendakwa ditumbuk.

Bagaimanapun polis berjaya menyuraikan insiden itu tanpa ada sebarang kejadian lain yang tidak diingini.


Tiada ulasan: