Rabu, 19 Julai 2017

Persepsi rasuah dalam kalangan mahasiswa membimbangkan

Ainul Asniera Ahsan

Dr. Anis Yusal Yusoff
KUALA LUMPUR – Ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agresif membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa, namun masih ada mahasiswa berpendapat tingkah-laku yang menjurus kepada perbuatan tersebut bukan satu kesalahan.

Perkara ini didedahkan hasil kajian yang dijalankan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM berhubung persepsi mahasiswa di tiga universiti tempatan terhadap pemahaman rasuah di negara ini.

Dalam kajian itu, 35.8 peratus responden menyatakan perbuatan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan dan perkhidmatan sebagai balasan terhadap perkhidmatan yang diberikan bukan satu kesalahan yang berbentuk rasuah.

Manakala 28.1 peratus pula beranggapan tidak menjadi kesalahan untuk mengambil harta/barangan pejabat seperti thumb drive, toner, kertas warna dan lain-lain untuk kegunaan peribadi.

Sementara 37.3 peratus responden beranggapan mengemukakan tuntutan tugas luar walaupun penginapan telah disediakan oleh pihak penganjir adalah suatu perbuatan yang salah.

Sebanyak 35.8 peratus responden juga menyatakan perbuatan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balas atas perkhidmatan yang diberikan bukan rasuah.

Sejumlah 20.6 peratus responden pula beranggapan terlibat secara langsung dalam proses pelantikan ahli keluarga untuk mengisi jawatan kosong di jabatan sebagai perbuatan yang dibolehkan meskipun majoriti responden mempunyai tahap pemahaman yang tinggi mengenai perbuatan rasuah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, keputusan kajian itu merisaukan memandangkan mahasiswa-mahasiswa berkenaan bakal memasuki alam pekerjaan.

“Penemuan dari kajian ini, sekiranya dijadikan kayu ukuran memerlukan kita menyemak semula, nilai apa yang dididik dan disemai dalam kalangan mahasiswa ini.

“Kita khuatir kalau mahasiswa yang mempunyai pandangan seperti ini telah terpengaruh dengan role model yang salah kerana mereka kelihatan seperti orang yang berjaya dalam kehidupan tetapi sebenarnya mendapat kejayaan dan kekayaan melalui jalan salah,” katanya di sini.

Seramai 402 responden terlibat dalam kaji selidik yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi MARA.

Dr. Anis berkata, beliau bimbang kerana golongan inilah yang akan menjadi pemimpin di tempat kerja dan komuniti serta pemimpin pada tahun 2050 nanti.

Lantaran itu, beliau berkata, kaji selidik itu tidak harus dipandang remeh dan perlu diberi perhatian sewajarnya agar generasi muda mampu menggalas tanggungjawab dengan lebih baik.

Beliau mahu permulaan integriti ditekankan dalam pendidikan melalui pembentukan nilai murni yang bermula di rumah.

Golongan ibu bapa diseru jangan mengabaikan peranan mereka di rumah dengan menunjukkan sikap dan nilai murni yang boleh dicontohi manakala guru-guru disaran menyelitkan nilai-nilai integriti dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Pemimpin masyarakat dan ahli politik juga ada saham menjadi contoh ikutan dan teladan kepada generasi masa kini.

“Kita memerlukan satu ekosistem yang telus dan berintegriti untuk menyokong semua usaha terutama dalam melaksanakan transformasi nasional 2050,” ujar beliau. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: