Selasa, 4 Julai 2017

Perkenal calon muda pada PRU14 untuk tawan kembali P. Pinang - Pemuda MIC

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemuda MIC Pulau Pinang mahu agar golongan muda diangkat sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Setiusahanya, Qmar Murugiah berkata strategi itu penting bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat di negeri itu terhadap BN, tambahan kini rakyat mahukan pemimpin muda dan 'wajah baru' untuk berkhidmat kepada mereka.
 
"Kita tak boleh nak ada style atau cara yang sama seperti dulu iaitu sebelum Pulau Pinang diambil alih oleh DAP kita ada orang lama-lama, orang senior sebab DAP menang PRU lepas pun sebab calon mereka adalah orang-orang muda.
 
"Jadi, orang Pulau Pinang nak tengok orang muda bekerja untuk mereka, mereka tidak mahu tengok orang yang sama untuk datang semula mengambil tempat tu lepas tu buat benda yang sama.
 
"Calon muda bukan dari Umno sahaja tetapi dari MIC, MCA, MyPPP dan Gerakan, semua kena pastikan yang mereka rasa yang terbaik calon muda yang boleh berfasih dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Ingeris, itu paling penting," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Namun, beliau tetap bersetuju dengan kenyataan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid yang mahukan kerjasama daripada parti komponen BN yang lain termasuk MIC dalam misi menawan kembali negeri yang kini dipegang DAP itu.
 
"Saya rasa apa yang diperkatakan oleh YB Jahara tu memang betul. Sekiranya ada kerjasama di antara MIC, MCA, Gerakan dan Umno dekat Pulau Pinang, kita mampu menawan balik Pulau Pinang.
 
"Tetapi nak melawan Pulau Pinang tu kita kena ada calon yang berkebolehan, yang muda yang sanggup turun padang untuk menolong rakyat," ujarnya lagi.
 
Terdahulu, Jahara menyeru kerjasama bersama parti komponen BN yang lain untuk memastikan kejayaan mereka merampas Pulau Pinang semula selepas 2 penggal dipegang oleh DAP.
 
Ini kerana pada Pilihan Raya yang lalu, hanya Umno sahaja yang berjaya meraih 10 kerusi DUN, manakala MCA, MIC  dan Gerakan gagal meraih sebarang kerusi.
 
Dalam pada itu Qmar menambah, setakat ini pemuda MIC di negeri itu sedang giat meraih sokongan pengundi muda dengan menggunakan pendekatan bersua muka bersama penduduk dalam menyelesaikan masalah mereka. 
 
Katanya, strategi itu diyakini mampu meraih kembali sokongan terutamanya dari kumpulan masyarakat yang sudah serik dengan janji palsu yang ditawarkan kerajaan sedia ada apabila banyak permasalahan mereka tidak mampu diselesaikan.
 
"Kami cuba dapatkan pengundi muda, kami cuba pergi kesemua kawasan cuba dapatkan pengundi muda dengan cuba berbincang dengan mereka, tanya masalah mereka, kalau mereka nak pertolongan dari segi kewangan ke kami cuba tolong.
 
"Kita tak mungkin mendapatkan semua sokongan daripada orang bukan Melayu di Pulau Pinang tapi kita boleh dapatkan 50-50 sebab yang dah belajar, yang inginkan perubahan daripada 2008 hingga 2013 tu, mereka dah nampak 2 penggal dah tiada perubahan dan mereka tidak gembira, jadi kami akan fokus kepada kumpulan itu," ulasnya.
 
 

Tiada ulasan: