Selasa, 4 Julai 2017

Pemimpin Umno dan Muhyiddin berkomplot, dakwa parti NewGen

Shawaliah Hadir

Ekoran maklumat inilah Parti Generasi Baru mengubah keputusan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan.

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemimpin Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merancang untuk saling bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung Parti Generasi Baru S Gobi Krishnan mendakwa, pakatan rahsia itu akan dilaksanakan bergantung kepada keputusan pilihan raya kelak, jika berpihak kepada Barisan Nasional (BN) maka Presiden PPBM Muhyiddin Yassin dan ‘konconya’ akan kembali kepada parti itu.

Manakala jika sebaliknya menurut Gobi beberapa pemimpin daripada Umno pula akan menyertai PPBM.

“Mereka ada pakatan rahsia bahawa jikalau Pakatan Harapan menang pada pru akan datang maka kesemua mereka ini akan menyertai PPBM manakala jika BN tetap menang maka beberapa orang pemimpin dalam PPBM akan menyertai Umno kembali,” katanya kepada Berita Daily.

Kata Gobi maklumat itu diperolehinya daripada sumber dalaman Umno dan PPBM yang boleh dipercayai.

Antara nama pemimpin Umno yang disebut sumber terlibat dengan pakatan rahsia tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Johor Khaled Nordin, Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, Menteri Besar Perak Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Abdul Aziz termasuk Menteri Luar Anifah Aman.

Walaubagaimanapun pakatan itu menurutnya tidak melibatkan Pengerusi dan Timbalan Presiden PPBM iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir.

“Pemimpin dalam PPBM ada banyak nama, termasuk Presiden dan memang kumpulan Presiden. Bukan kumpulan Timbalan Presiden (Mukhriz Mahathir) dan orang yang bersama dengan Presiden yang memegang banyak jawatan,” ujarnya.

Jelasnya, oleh sebab perancangan ini PPBM mahu menjadi salah satu pemegang jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan agar dapat meluaskan kuasa untuk menerajui parti itu.

Pada akhirnya nanti kata Gobi lagi, dengan cara itu Umno-BN akan dapat mengekalkan kekuasan mereka walaupun menerusi parti pembangkang.

“Bila perkara ini berlaku esok (Pakatan menang nanti) maka mereka akan dapat menarik orang-orang Umno supaya kerajaan itu nanti akan diterajui orang-orang Umno juga.

“Jadi tidak akan ada perbezaan. Kita mahukan reformasi, perubahan daripada sebuah kerajaan BN kepada Pakatan Harapan yang sebenarn-benarnya dengan reformasi yang dibawa Anwar Ibrahim pada tahun 1998 kita semua adalah penyokong dan pendokong reformasi.

“Jadi itu yang kita mahu. Jadi bila mereka ini masuk kemudian maka tidak akan ada banyak perbezaan, tetap Umno akan memerintah melalui proksi,” tambah beliau.

Justeru itu Gobi memberi amaran kepada Pakatan Harapan agar berwaspada dengan PPBM.

Ujarnya, ekoran maklumat inilah Parti Generasi Baru mengubah keputusan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan.

“”Saya nak orang tahu harus berhati-hati dengan PPBM. Bukan kita kata kita tolak mereka secara mutlak, kita harus berhati-hati, dan jangan berikan mereka kepimpinan Pakatan Harapan… Kami mahu Pakatan diterajui oleh PKR bukan oleh PPBM,” katanya lagi.

Parti Generasi Baru yang diasaskan bekas pemimpin Umno Mohd Ezam Nor dan Khairuddin Abu Hassan mengemukakan permohonan secara rasmi untuk menyertai Pakatan Harapan pada April lalu.

Kemudiannya 22 Jun yang lalu parti itu menarik balik permohonan kerana hanya mempercayai PKR sahaja untuk mengetuai pakatan pembangkang.

Malah, parti itu berkata calon perdana menteri harus datang dari PKR dan bukannya dari PPBM.

Tiada ulasan: