Ahad, 16 Julai 2017

Pembantu Wakil Rakyat DAP Cuba Sogok Wang Tutup Kes Jenayah Seksual






My Nation News – Polis Pulau Pinang menahan reman seorang pembantu wakil rakyat DAP selama dua hari bagi membantu siasatan terhadap dakwaan dia melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar kolej.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Ahmad Tajudin Zain kira-kira jam 11 pagi tadi di Georgetown, Pulau Pinang.



Lelaki berusia 50 tahun itu ditangkap malam semalam dan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk melakukan pencabulan kehormatan terhadap seseorang.

Bekas ahli majlis pihak berkuasa tempatan ini didakwa melakukan jenayah seksual itu terhadap pelajar berusia 21 tahun di parkir kereta sebuah pusat hiburan di Beach Street pada 6 Julai lalu.

Lelaki itu turut didakwa meminta seorang rakannya menemui mangsa untuk ‘menyelesaikan kes’ berkenaan dengan bayaran.

“Saya rasa terhina dengan cubaan tawaran itu dan keluarga saya meminta saya meneruskan kes ini agar dapat menghentikan lelaki ini dari melakukan perkara yang serupa terhadap orang lain,” kata pelajar itu dalam satu sidang media bersama Parti Cinta Malaysia (PCM) hari ini.

Mangsa turut menangis ketika berkongsi pengalaman ngerinya itu dan berharap pihak polis akan tegas dalam memastikan ia tidak berlaku kepada orang lain.

“Saya tidak memasuki kereta lelaki itu. Ia berlaku di luar, di sebuah lorong kecil ke arah parkir kereta itu,” katanya.

“Ia adalah hari pertama saya bekerja di pusat hiburan itu dan saya tidak mahu membuat mana-mana pelanggan marah saya.

Kejadian didakwa berlaku ketika mereka sedang berjalan ke arah parkir kereta di belakang kedai minuman itu dengan melalui lorong kecil.

“Ketika kami menghampiri penjuru agak gelap, lelaki itu tiba-tiba menolak saya ke dinding dan mula mencium saya. Saya bergelut dengan menolaknya tetapi saiz badannya yang besar serta lebih kuat saya dan dia mula meramas saya dan memasukkan tangannya ke dalam seluar dalam saya untuk menyentuh kemaluan saya,” dakwanya.

Mangsa terus bertindak mencangkung sambil menangis dan berterusan menolak lelaki itu.

Pelajar ini turut mendakwa pembantu wakil rakyat DAP ini turut meransang kemaluannya sendiri dan ejakulasi ke atas wanita ini.

Ketika ditanya mengapa dia mendapatkan bantuan PCM dan mengadakan sidang media sedangkan laporan polis sudah dibuat, mangsa mendakwa polis bagaikan tidak serius dalam menyiasat kes itu.

“Saya buat laporan pada malam itu juga, iaitu pada 7 Julai namun polis bagai tidak serius dalam menyiasat,” katanya.

Mangsa turut mendakwa pegawai penyiasat kes itu tidak memberitahu apa yang perlu dilakukan olehnya selepas laporan polis dibuat.

“Saya hanya mahu polis lebih serius kerana sejak malam itu, saya masih lagi ketakutan dan memikirkan mungkin laporan saya tidak jelas, saya membuat satu lagi laporan polis pada 11 Julai,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan menggesa pihak polis menjalankan siasatan lebih serius terhadap dakwaan pelajar itu.

Tiada ulasan: