Isnin, 10 Julai 2017

Pelantikan Raus kesilapan yang Putrajaya perlu tarik balik, kata peguam Amanah

Pelantikan Raus kesilapan yang Putrajaya perlu tarik balik, kata peguam Amanah
Pelantikan Ketua Hakim Negara Md Rauf Sharif (kiri) adalah kesilapan asas, kata peguam Amanah. – Gambar fail najibrazak.com, 



PUTRAJAYA perlu tarik balik pelantikan Md Raus Sharif sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan, kata peguam Amanah dan berkata pelantikan melanjutkan tugasnya sebagai ketua hakim negara bertentangan dengan perlembagaan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Hanipa Maidin berkata Perkara 122(1A) menyatakan pelantikan hakim tambahan kepada Mahkamah Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong memerlukan nasihat daripada ketua hakim sedia ada, bukan seperti alasan Putrajaya yang meminta nasihat daripada bekas ketua hakim Ariffin Zakaria.

“Ariffin sudah bersara, beliau pesara ketua hakim bukan ketua hakim. Dalam hal ini, ketua hakim merujuk kepada Raus.

“Apabila Raus berkuasa sebagai ketua hakim, beliau perlu menasihatkan Agong untuk melantik hakim tambahan, jadi bagaimana beliau menasihati jika ia membabitkan dirinya sendiri, ini perkara asas. Anda tidak boleh menasihati seseorang untuk melantik diri sendiri.

“Saya berharap kerajaan mengakui kesilapan dan menarik balik pelantikan itu dan Raus pula perlu menolak tawaran itu,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Raus kekal sebagai ketua hakim untuk tiga tahun akan datang bermula 4 Ogos selepas pelantikannya sebagai ketua hakim di Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu.

Ketua hakim perlu bersara selepas mencapai usia 66 tahun dan enam bulan namun Perkara 122 (1A) membolehkan hakim tambahan tiada had umur.

Peruntukan itu menyatakan, “Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat ketua hakim negara Mahkamah Persekutuan, boleh melantik mana-mana orang yang memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan olehnya:

Dengan syarat tiada hakim tambahan yang sedemikian menjadi tidak layak untuk memegang jawatan kerana dia mencapai umur 66 tahun.

“Keputusan terletak di tangan Raus, beliau patut tidak menerima pelantikan itu,” katanya.

Beliau berkata kemungkinan Raus menasihatkan Agong untuk melantik dirinya mempunyai elemen berat sebelah dan konflik kepentingan.

Mengenai rancangan Amanah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan itu, Hanipa berkata ia akan difailkan selepas Majlis Peguam meneruskan dengan mesyuarat agungnya mengenai perkara itu.

"Kami belum memutuskan tarikh itu, kami ingin memfailkannya kerana satu-satunya pihak yang boleh mempersoalkan pelantikan itu adalah mahkamah.

"Tetapi kami ingin mengingatkan semua hakim kewajipan anda menghormati dan melindungi perlembagaan bukan melindungi orang lain. Anda bersumpah untuk melindungi martabat dan kesucian perlembagaan," katanya.

Tiada ulasan: