Selasa, 11 Julai 2017

Peguam Negara hilang kredibiliti pertahan perompak wang rakyat




Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Sikap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang enggan memulakan tindakan undang-undang ke atas individu yang terkait penyelewengan 1MDB menggambarkan seolah-olah beliau cuba mempertahankan perompak wang rakyat kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

“Keengganan Tan Sri Apandi untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas sesiapa pun dari perompak dana 1MDB adalah satu tindakan yang seolah-olah cuba untuk mempertahankan perompak wang rakyat.

“Di mana kredibiliti beliau sebagai seorang peguam negara?,” soalnya dalam kenyataan.

Kenyataan ini dibuat mengulas bantahan yang dilakukan peguam negara  membantah saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Menurut Mohamad, tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil selagi mana peguam negara tidak bebas dari pengaruh politik penguasa.

“Sekiranya Apandi seorang yang bertanggungjawab, sudah lama tindakan telah beliau ambil tanpa perlu menunggu akan ‘tiga tindakan undang-undang DOJ’ atas pensonglapan dana 1MDB!

“Berkali-kali Pakatan Harapan dan NGO serta individu bekas institusi kehakiman negara mendesak beliau agar memulakan tindakan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Sharul Azrai Ibrahim Hilmi.

“Beliau sepatutnya sudah bertindak tegas terhadap perompak dana syarikat pelaburan negara bersandarkan laporan tempatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Laporan PAC ujar Mohamed Sabu secara jelas pada muka surat 94, Jadual 15 menyatakan pelbagai kesalahan Sharul termasuk memindahkan AS$700 juta kepada akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd, milik Jho Low pada 29 September 2009.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, Sharul dibiarkan bebas malah boleh memegang jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.

“Dalam suasana genting ketika ini, terdapat hanya dua pilihan untuk Apandi berhubung skandal kewangan terbesar yang melanda kita pada hari ini.

“Pertama, beliau segera mendakwa mereka yang terlibat bagi memulihkan emej beliau sebagai peguam negara atau letak jawatan segera,” saran Mohamed Sabu.

Laporan pertama DOJ setebal 136 muka surat pada 20 Julai 2016 katanya sudah cukup untuk meruntuhkan segala maruah dan integriti kepimpinan negara oleh MO1 yang merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Malah, 251 muka surat laporan ketiga DoJ telah mendedahkan wang rompakan dari 1MDB termasuk perihal AS$620 juta (RM2.6 bilion) yang kononya wang derma itu telah dipulangkan (returned donation) oleh mereka kembali kepada ‘penderma budiman Pak Sheikh Arab Saudi’ oleh Najib,” katanya lagi.

Dalam laporan ketiga DOJ, Jho Low yang dilaporkan menerima sebanyak AS$620 juta antara lain telah didakwa menggunakan dana tersebut untuk membeli ‘kalung berlian merah jambu’ bernilai AS$27.2 juta buat isteri MO1 termasuk pelbagai perhiasan mewah. –Roketkini.com


Tiada ulasan: