Sabtu, 15 Julai 2017

PAS tumpu bina kekuatan, tak ambil pusing dengan PH - Khalil

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
AMPANG: Enggan mengulas perkembangan membabitkan Pakatan Harapan (PH), Pemuda PAS mendakwa gabungan pembangkang tersebut masih lagi bercelaru.
 
Ketua Pemudanya, Khalil Abdul Hadi berkata isu membabitkan gabungan tersebut masih berlegar-legar, terutama dalam soal siapakah yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya menang dalam pilihan raya akan datang.
 
"Saya melihat PH masih bercelaru di antara satu sama lain. Sebelum dari ini diumumkan (Datuk Seri) Anwar sebagai bakal Perdana Menteri, kemudian Dr Mahathir, kemudian isu ini dirujuk kembali. 
 
Saya tak pasti apa yang berlaku di kalangan mereka. Apa yang penting tumpuan kami untuk membina kekuatan," katanya yang ditemui dalam Majlis Minum Petang Pemuda PAS di Hotel De Palma, Ampang petang tadi.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai struktur kepimpinan PH yang baru diumumkan lewat malam Khamis lalu.
 
Pada sidang medianya dua hari lalu, PH mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi gabungan itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum, jawatan yang sama disandang beliau dalam PKR.
 
Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai presiden gabungan empat parti pembangkang itu.
 
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu dipilih sebagai Timbalan Presiden PH.
 
Beberapa kritikan muncul selepas pengumuman barisan kepimpinan itu, dengan ada di antaranya mendakwa DAP sengaja 'dipinggirkan' sebagai cubaan PH untuk menonjolkan imej 'kemelayuan'.
 
Sementara itu Khalil ketika mengulas lanjut berkata parti itu 'tidak sibuk' dalam hal berkaitan siapa calon yang layak dinamakan sebagai Perdana Menteri jika pembangkang menang dalam PRU14.
 
Namun beliau menegaskan PAS mempunyai segala ciri-ciri yang diperlukan bagi jawatan berkenaan.
 
"PAS tak sibuk nak lantik siapakan bakal perdana menteri dan seterusnya. Tetapi pada kami, kami mempunyai ciri dan kriteria kepada kepimpinan yang akan menerajui negara. Siapa yang memimpin dan memerintah tak penting, yang penting sifat-sifat dan kriteria mesti dipenuhi.
 
"Kepimpinan yang mesti memimpin negara mesti beragama Islam, berbangsa Melayu. Beliau juga mesti bersifat adil. Inilah ciri dan kriteria yang utama," demikian menurut beliau.
 
Dalam pada itu Timbalan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin melahirkan keyakinan parti itu mampu bertanding lebih dari 111 kerusi dalam PRU14 meskipun ia tidak lagi mengadakan kerjasama politik dengan mana-mana parti.
 
"Kami akan bertanding lebih dari 40 kerusi parlimen dan jangan terkejut jika kami bertanding lebih dari 111 kerusi parlimen. PAS membina kekuatan dan Insyaallah kami yakin dan percaya kekuatan kami seperti yang dibentangkan oleh setiausaha, akar umbi kami bersiap untuk bertanding lebih dari majoriti kerusi parlimen yang ada dalam negara," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: