Rabu, 19 Julai 2017

PAS Pulau Pinang sedia tanding di Permatang Pauh, tunggu lampu hijau PAS Pusat

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Pulau Pinang tidak menolak untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh, kerusi yang sebelum ini ditandingi bekas sekutunya PKR, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang. 
 
Pesuruhjayanya Mohd Fauzi Yusof berkata pihaknya sentiasa dalam keadaan bersedia dan hanya menanti lampu hijau daripada PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama parti.     
 
"Kita bersedia, maknanya apabila kita melancarkan jentera, kita bersiap sedia, cuma tunggu lampu hijau. Kalau dapat lampu hijau, restu daripada (PAS) Pusat, kita bertanding.
 
"Kalau Pusat tak restu, mungkin ada perkiraannya, kita terpaksa wala' dan akur," katanya kepada Antarapos. 
       
PAS pada Ahad lalu melancarkan jentera pilihan rayanya di kawasan Permatang Pauh, kerusi yang sinonim dengan PKR.
 
Bagaimanapun, tidak ada pengumuman rasmi PAS sama ada parti itu akan bertanding merebut kerusi Parlimen itu atau tiga lagi kerusi DUN di dalam parlimen berkenaan. 
 
Naib Presidennya Dr Idris Ahmad yang melancarkan jentera itu berkata, PAS sedang bersedia sementara menanti jawatankuasa kepimpinan negeri menghantar laporan mereka untuk penilaian pemimpin pusat sebelum keputusan akhir dibuat.
 
Bukan kerusi Permatang Pauh sahaja
 
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata PAS bukan saja bersedia untuk bertanding di Parlimen Permatang, bahkan bersedia untuk bertanding di tiga DUN di bawah parlimen itu.
 
Malah katanya, PAS Pulau Pinang mempunyai ramai calon yang berkelayakan untuk bertanding di kerusi-kerusi berkenaan.
 
"Calon berlambak (ramai), calon ini kita ada di semua peringkat, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda. Calon memang tiada masalah," katanya lagi.
 
Mohd Fauzi juga berkata, PAS sememangnya 'tidak asing' kepada rakyat di kawasan berkenaan memandangkan kerusi Permatang Pauh sebelum ini milik mereka. 
 
"Kita mendapat beberapa petunjuk dan isyarat daripada rakyat khususnya di kawasan Permatang pauh memang senang kalau PAS bertanding di kawasan ini," katanya. 
 
Kerusi Parlimen Permatang Pauh kini disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
PKR juga memegang dua kerusi DUN di parlimen berkenaan iaitu Penanti dan Seberang Jaya, manakala PAS memegang Permatang Pasir, kerusi tunggal milik mereka di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu. 
 
Untuk rekod, kerusi Permatang Pauh sebelum ini ditandingi PAS, tetapi selepas bekerjasama dengan PKR, kerusi itu diserahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Namun kini kedua-dua parti berkenaan sudah tidak bekerjasama lagi, dan PAS dijangka akan bertanding di kerusi milik PKR mahupun PH yang lain sekaligus membawa kepada pertandingan tiga penjuru

Tiada ulasan: