Ahad, 16 Julai 2017

PAS penghalang PH raih sokongan Melayu luar bandar

AKHBAR RAKYAT


PAKATAN Harapan (PH) dapat merasakan betapa sukarnya untuk meraih undi Melayu luar bandar semasa dua acaranya baru-baru ini di Pulau Pinang.

Sebelum Hari Raya, para pemimpin DAP pergi ke kampung di kawasan Melayu di Pulau Pinang untuk menyampaikan sumbangan. Ahli PAS yang mereka temui, menolak tawaran ini.

Dan selepas Hari Raya, ketika PH mengadakan ceramah pertama mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diadakan khas untuk masyarakat luar bandar di Penaga, tiada penyokong PAS kelihatan.

Memastikan mereka yang mengundi PAS untuk beralih arah kepada PH adalah satu daripada syarat untuk gabungan itu memenangi kerusi Parlimen yang mencukupi, seterusnya mengambil alih Putrajaya.

Tetapi kedua-dua majlis ini menunjukkan, kemampuan PH untuk meraihnya sangat meragukan apatah lagi dengan tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal diadakan kurang daripada setahun lagi.

Pengaruh PAS

Penganalisis politik selalu berpendapat apabila dua parti pembangkang menentang Barisan Nasional (BN), undi mereka berpecah yang akhirnya memberi kemenangan kepada BN.

Oleh kerana PAS mengumumkan ia akan bertanding menentang PH dan BN, peluang PH menang tipis melainkan ia boleh mencuri pengundi daripada PAS dan BN.

Satu sebabnya mengapa ia mencabar ialah kerana Umno dan PAS mempunyai sejarah mendalam berdekad lamanya dalam komuniti Melayu.

Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata rakyat Malaysia cenderung mengundi berdasarkan kaum pada setiap pilihan raya untuk parti yang dianggap menjaga kepentingan mereka.
Bagi orang Melayu, terutama penduduk luar bandar, ia sentiasa sama ada Umno atau PAS, kata Ibrahim.

"Dalam keadaan tertekan, pengundi akan kembali kepada sikap berpuak mereka dan menyokong kebiasaan. Oleh itu, sukar bagi orang baru, pihak ketiga untuk masuk dan meraih kepercayaan mereka."

Di kalangan orang Melayu Pulau Pinang ini sangat sukar. Mohamad Sabu, bekas pemimpin kanan PAS, pernah berkata komuniti ini berbeza daripada negeri lain.

"Mereka sangat sensitif dengan ketakutan hak diambil kerana mereka adalah minoriti di Pulau Pinang. Tetapi bukan minoriti kecil," kata Mohamad, yang kini menjadi presiden Amanah.

Justeru, meraih kepercayaan masyarakat Melayu Pulau Pinang terhadap PH yang bersekutu dengan DAP majoriti Cina hampir mustahil.

PH terdiri daripada parti pelbagai kaum DAP dan PKR, serta dengan majoriti Melayu, Amanah dan Bersatu. PAS adalah bekas sekutu DAP dan PKR tetapi berpisah pada 2015.

Malah PAS, yang bersekutu dengan PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum 2013, berdepan kesukaran meyakinkan orang Melayu Pulau Pinang. Ia memenangi satu daripada enam kerusi yang dipertandingkan, semuanya majoriti Melayu.

Berkongsi matlamat

Apabila membandingkan kemampuan PH untuk menarik undi orang Melayu di luar bandar berbanding PAS, Pesuruhajaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff, memberikan contoh luar biasa.

Ceramah 1MDB di Penaga pada 6 Julai, hanya menarik segelintir penyokong PAS. Dua hari kemudian, ribuan orang muncul di rumah terbuka PAS Pulau Pinang di Bertam, juga di Kepala Batas.
"Sokongan yang kita peroleh di Pulau Pinang melebihi jangkaan," kata Fauzi ketika menjawab dakwaan parti itu kehilangan sokongan selepas berpecah dengan DAP dan PKR.

Penyokong PAS yang menghadiri ceramah 1MDB melakukan secara sembunyi dan tidak memasuki dewan komuniti di mana ia diadakan, kata seorang penganjur acara itu, Ahmad Fahmi Abu Bakar.

"Saya mengenali sebahagian daripada mereka sebagai penyokong PAS kerana saya juga pernah berada di dalam parti. Mereka duduk di tepi jalan di luar dewan komuniti. Tetapi sekurang-kurangnya mereka diberitahu tentang 1MDB," kata Fahmi yang kini pemimpin Amanah Tasik Gelugor.

Fahmi mengakui PAS masih kuat di Pulau Pinang tetapi berhujah yang sikap mesra yang diperlihatkan parti Islam itu terhadap musuh tradisionalnya, Umno, menganggu sebahagian penyokong dan ahlinya.

"Mereka tidak selesa dengan pendirian PAS mengenai 1MBD dan kami berharap boleh memperoleh undi senyap daripada mereka. Mereka tidak akan meninggalkan PAS kerana hubungan keluarga dan kampung. Tapi semoga mereka mengundi kami."

Pemimpin DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari menganggarkan satu daripada lima penyokong PAS adalah ahli tegar yang tidak akan mengundi mana-mana parti lain.

Tetapi empat yang lain mungkin boleh diyakinkan untuk mengubah fikiran mereka, kata Zairil, yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera dan bertanggungjawab terhadap jelajah 1MDB untuk orang Melayu Pulau Pinang.

Dan untuk melakukannya, program jelajah dibuat untuk menerangkan yang pemimpin tertentu dalam PAS melindungi pentadbiran Najib daripada pendakwaan dalam isu 1MDB, kata Zairil.

"Kami percaya penyokong PAS ingin perubahan rejim, tetapi beberapa pemimpin PAS tidak menyokong matlamat itu. Justeru, kami berharap mendapat sokongan mereka dengan menunjukkan yang matlamat PH dan mereka adalah sama."

Tiada ulasan: