Selasa, 25 Julai 2017

PAS hanya akan berunding dengan komponen Gagasan Sejahtera - Tuan Ibrahim

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menegaskan tidak akan membuka pintu rundingan dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selain bersedia menghadapi risiko kekalahan dalam saingan tiga penjuru.
 
Sebaliknya Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim berkata PAS hanya akan berunding dengan komponen Gagasan Sejahtera berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.
 
"Ya, kita bersama Gagasan Sejahtera sahaja.
 
"Kita akan berunding dalam Gagasan Sejahtera dan tiada sebarang perundingan dengan Pakatan Harapan ataupun dengan Umno," katanya kepada Antarapos.
 
Jelas beliau, Gagasan yang dibentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) akan menjadi alternatif kepada Pakatan untuk mengalahkan BN pada PRU14.
 
"Dengan BN memang lawan kita sepanjang masa, tak mungkin kita berunding dengan Umno sebab kita akan lawan Umno," katanya.
 
Pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 dijangka akan berlaku berikutan keengganan parti pembangkang berkompromi dalam soal rundingan kerusi yang memungkinkan BN akan kekal sebagai parti pemerintah pusat.
 
Malah PAS berulang kali menegaskan ia tidak akan menyertai Pakatan ataupun BN sebaliknya sedang memperkasakan blok pembangkang ketiga bagi menghadapi PRU14.
 
PAS sedia berdepan Pakatan dan BN dalam tiga penjuru.
 
Justeru Tuan Ibrahim menegaskan tiada sebab untuk PAS berunding dengan mana-mana parti di luar penggabungan Gagasan.
 
"Hampir 90 peratus kerusi-kerusi PAS semua lawan Umno dan PAS tidak ada perundingan dengan Umno daripada awal cuma fitnah serta tuduhan itu sengaja dilemparkan oleh orang yang tak senang pada PAS.
 
"Dengan Pakatan Harapan kita tak berunding sebab kita bukan sebahagian daripada Pakatan HArapan," katanya.
 
Ditanya sekiranya soal agihan kerusi dengan komponen Gagasan, beliau berkata ia belum dimuktamadkan lagi kerana ia masih di peringkat mengenalpasti kekuatan komponen gabungan itu.
 
"Belum lagi,  di peringkat ini kita masih kenal pasti kekuatan di seluruh negara," katanya.
 
Beliau berkata PAS mengutamakan persefahaman politik yang turut membuka ruang kepada badan bukan kerajaan dan tokoh sebagai platform baru kepada landskap politik negara.
 
"Cuma prinsip PAS kita akan pertahankan kerusi-kerusi PAS dan kita akan tengok kekuatan dalam Gagasan Sejahtera yang melibatkan tiga komponen iaitu parti politik, NGO dan tokoh-tokoh," katanya.
 
 

Tiada ulasan: