Jumaat, 14 Julai 2017

Pakatan Harapan tampilkan logo dan struktur organisasi, siap hadapi PRU-14


Roketkini.com

PETALING JAYA: Kesepakatan antara parti komponen Pakatan Harapan untuk menumbangkan pemerintahan lebih setengah abad UMNO-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang diperkuat dengan pengumuman barisan kepimpinan serta logo, semalam.

Setelah bermesyuarat hampir empat jam di Ibu Pejabat PKR di sini, Pakatan Harapan memutuskan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum gabungan pembangkang itu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden.

Dalam kenyataan yang dibacakan Dr Mahathir itu beliau turut mengumumkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden.

“Jawatan naib presiden disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub,” katanya.

Sementara Jawatan ketua setiausaha disandang Datuk Saifuddin Abdullah dan bendahari diisi M. Kula Segaran.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU turut mengumumkan beberapa langkah yang akan diambil Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari pertama selepas mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan, seperti berikut:
  • Menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST);
  • Menstabilkan harga petrol;
  • Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
  • Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
  • Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
  • Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal 1MDB; dan
  • Memulihkan Felda.
Pakatan Harapan juga, katanya, komited untuk membebaskan Anwar Ibrahim daripada tahanan penjara dengan memulakan proses permohonan pengampunan diraja dalam tempoh seminggu selepas kerajaan baru ditubuhkan.

“Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya,” ujarnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: