Selasa, 18 Julai 2017

Ops imigresen, Felda rugi RM2 juta sehari akibat kurang pekerja

 
Pemangku Pengerusi FGV, Sulaiman Mahbob berkata, bagi mengatasi kekurangan pekerja, Felda bercadang mengambil 7,000 hingga 8,000 pekerja asing, khasnya warga Bangladesh.


felda-arrest


PETALING JAYA: Operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyebabkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerugian RM2 juta setiap hari kerana kekurangan pekerja mengumpul hasil kelapa sawit.

Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dipetik Nanyang Siang Pau mengakui Felda kini berdepan masalah kemerosotan pendapatan dan ladang kelapa sawit kekurangan pekerja.

“Kami mengabaikan kepentingan mengambil pekerja asing. Dianggarkan kami rugi sehingga RM2 juta sehari kerana kekurangan pekerja,” katanya kepada akhbar itu selepas jamuan minum petang Aidilfitri, semalam.

Katanya, selain sektor perladangan, sektor lain di seluruh negara turut berdepan kekurangan pekerja, seperti industri elektronik dan pembuatan.

Sulaiman berkata, bagi mengatasi kekurangan pekerja, Felda bercadang mengambil 7,000 hingga 8,000 pekerja asing, khasnya warga Bangladesh.

Ini kerana, katanya, berbanding negara lain, Bangladesh mampu membekalkan lebih ramai pekerja dan proses dokumentasi lebih mudah.

Bulan lalu, Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar mengumumkan surat merah akan dikeluarkan untuk permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) yang tidak diluluskan pihaknya dan majikan perlu menanggung kos penghantaran pulang PATI ke negara asal mereka.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya separuh daripada PATI yang tidak memenuhi syarat dibuang majikan dan mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah kerana mengambil jalan mudah disebabkan enggan membayar wang bagi menghantar PATI pulang ke negara asal.

Tiada ulasan: