Khamis, 13 Julai 2017

Nurul Izzah: Kesatuan kita kegerunan Najib

 NURUL IZZAH ANWAR




Izinkan saya menyorot kembali pertemuan terkini di antara saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan perdana menteri Malaysia merangkap rakan-seteru politik ayahanda tersayang, Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang kini terkenal selaku tahanan politik Malaysia.

Bertempat di kota London, yang menemukan insan-insan sewarga sedang di perantauan  dan mengambil semangat Syawal, kami menumpukan kepada pembentukan sebuah pakatan berasaskan reformasi demi Malaysia yang terjamin.

Malangnya, media arus perdana yang dikongkong oleh kerajaan telah mencalar pertemuan ini menerusi serangan peribadi setelah cubaan demi cubaan untuk menggugat kesatuan pakatan secara langsung dan tidak langsung dilakukan.

Semua serangan ini berpunca pasca berita bahawasanya Anwar dan Dr Mahathir telah mencapai kata sepakat membentuk barisan reformasi pembangkang menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melindungi kleptokrat dan perompak bangsa.

Jelas, asbab utama pertemuan adalah usaha konsisten yang mengutamakan negara daripada kepentingan ataupun kesengsaraan peribadi: dan ini petunjuk jelas bahawa mereka yang berada di dalam tampuk kekuasaan gentar dengan kesatuan ini.

Saat Dr Mahathir dan Anwar tampil bersama untuk rakyat, bakal menggegar persada negara yang julung kalinya bakal meraih semula negara dari tangan para perasuah-pemerintah elit.

Alangkah ruginya jika kita tidak mampu mengambil peluang ini, yang mana membuktikan kita di pihak yang benar memandangkan campur tangan melulu dari pihak atasan yang tampil dengan kenyataan balas dan serangan semberono. Tangkaplah kalau berani!

Batu asas untuk strategi BN telah dan akan terus berlandaskan konsep kolonial British yakni pecah dan perintah.

Kebergantungan kepada strategi pengundi hantu, dakwat 'tak kekal', membeli undi, dan persempadanan semula yang tidak sah - memperlihatkan agenda murahan BN untuk memecahbelahkan barisan pembangkang yang akhirnya mungkin membawa kepada perlawanan tiga atau empat penjuru.

Natijahnya, ini semua bakal membuahkan BN sebagai parti yang membolot semua kerusi.
Pada 2008, umum maklum bahawa Anwar telah mengepalai barisan Pakatan Rakyat dan mencatat rekod tertinggi pencapaian pembangkang di Malaysia. Bahkan, bertambah lagi dengan perolehan 52 peratus majoriti melalui undi popular pada tahun 2013 (meskipun setelah hampir 40 peratus kerusi-kerusi yang mengalami gerrymandering/persempadanan semula yang tempang).

Walhasil, dua tahun kebelakangan ini memperlihatkan momokan dan manipulasi pimpinan BN terhadap pemimpin kanan Pas menerusi acah-tidak-acah/bahas-bukan lulus RUU 355, yakni menyebabkan parti Pas menjauhi barisan pembangkang.

Dengan penarikan sebegini, BNl mungkin beranggapan bahawa mereka telah berjaya melumpuhkan barisan pembangkang. Syukur, berbekalkan segala daya dan upaya untuk mencantas plot jahat dan putar belit, terdapat beberapa pencetus upaya ke arah reformasi dan keadilan sebagai satu wadah penambahbaikan demokrasi di Malaysia.

Tumpuan-tumpuan demi mencapai kemenangan adalah (1) pemisahan antara Parti Amanah Negara daripada Pas, (2) penyatuan antara Amanah dan DAP serta parti PKR-Anwar, tambahan (3) perpecahan dari BN yang diketuai oleh tak lain tak bukan mantan perdana menteri Mahathir melalui pembentukan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sementelah, pelbagai persefahaman dan rundingan melalui dokongan dan sepakat telah dilakukan dan diterima secara baik antara komponen parti-parti serta pemimpin Bersatu

Dengan jangkaan mengenepikan hasad politik dan permainan kuasa telah membawa sebuah formaliti kesatuan " 3+1" pakatan. Menelan kekecewaan, dan kebimbangan melanda pihak kleptokrat terutamanya 'Najib & Co', memperlihatkan minggu ini bakal merubah kenyataan tersebut. Ternyata, BN kecewa dengan kejayaan ini.

Lihat sahaja, dalam minggu ini, PM dan TPM masing-masing telah meluangkan masa dan berhempas pulas menyerang pemimpin pembangkang dan menjurus ke arah pengumuman yang dinanti-nantikan.

Ingatlah, bahawa kesemua ini hanyalah permulaan. Sebelum tamat PRU14, kita akan menerima serangan rutin dari kiri dan kanan serta kesemua arah, tidak kurang juga oleh serangan dalaman.

Kesimpulannya jelas, sesiapa sahaja yang mencari alasan untuk memecah belah pakatan, hanya akan memberi kelebihan kepada pemerintahan sedia ada, dan membenarkan rejim semasa bernafas lebih lama hanya kerana ketidakupayaan kita untuk bersatu.

Justeru, pelebaran sayap barisan pembangkang akan berdiri teguh di atas prinsip keadilan dan reformasi, dan menjadi ancaman utama terhadap BN. Kesepakatan kita inilah yang akan menggentarkan kerajaan dan jentera parti pemerintah.

Bayangkan, barisan pimpinan seperti Anwar, Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Azmin Ali, Lim Kit Siang, Hj Mohammed Sabu, Datuk Husam Musa, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Rafizi Ramli dan semua adiwira ahli politik di Malaysia berganding bahu menentang "Najib & Co", serta perompak dana awam 1MDB, yang telah mengaibkan Malaysia di mata dunia - dengan skandal berbilion ringgit menggunakan dana awam. Hakikatnya, BN tidak punya banyak pilihan dan peluang.

Nah, kesemua ini bakal kita raih bersama jika dan hanya jika barisan pembangkang mahu dan mampu berdiri bersama di atas paksi kesepakatan HARAPAN ke arah keadilan dan reformasi.

Rakyat hanya bisa dilindungi melalui proses demokrasi yang tulen dan institusi yang bebas, berkhidmat seperti benteng yang kukuh menentang rasuah dan kerajaan yang kuku besi.

Bahkan, alangkah moleknya jika akar umbi parti Pas mampu menyeru agar kepimpinan mereka turut serta dalam agenda keberlangsungan pakatan reformasi supaya berada bersama pihak yang benar, setidaknya sebagai pakatan dalam PRU, pastinya BN bakal terkubur pada PRU14 ini. Ini semua pastinya takkan berlaku tanpa usaha berpanjangan dan jiwa besar pemimpin yang berpengalaman lagi bertauliah.

Pertemuan saya dan Dr Mahathir di London diharapkan agar menjadi langkah tuntas dalam membulatkan tekad dan persefahaman antara gerakan kita.

Saya yakin dan percaya bahawa struktur akhir bakal dipersetujui bersama, asal sahaja berlangsung dengan tenang dan sentiasa mengutamakan kebajikan dan masa depan rakyat.

Kita sedang menuju ke garisan penamat, dengan serangan peribadi bertubi-tubi oleh BN adalah indikator yang jelas - bahawa kita, Insya-Allah, sedang berada di landasan yang benar.

*Penulis Nurul Izzah Anwar adalah Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Tiada ulasan: