Khamis, 13 Julai 2017

Nazri: Sebat di Kelantan, pelancong asing boleh ke tempat lain

 
Langkah itu boleh menyebabkan pelancong memilih negeri lain yang menurut Nazri Aziz lebih banyak tarikan.


Nazri-Aziz_pelancong_hudud_600


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mengakui langkah kerajaan Kelantan membolehkan pesalah syariah dihukum sebat di khalayak ramai akan menyebabkan negeri itu tidak lagi digemari pelancong luar negara.

“Pelancong boleh ke negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Pulau Langkawi, Kuala Lumpur dan lain-lain,” kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu.

“Pertama dalam senarai saya untuk dipromosikan ialah Sabah,” tambahnya.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

Ia juga membenarkan pegawai penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain penggunaan video sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Mengulas isu itu hari ini, bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin dengan nada menyindir berkata Nazri boleh menjadikan hukuman sebat di khalayak ramai sebagai tarikan pelancong.

“Langkah ini juga boleh dipromosikan oleh Nazri di kalangan negara-negara Arab sebagai usaha membantu memperbaiki imej Arab Saudi yang masih mengekalkan cara hukuman yang tidak bertamadun,” tulisnya.

Dalam reaksinya, Nazri berkata pandangan Zainuddin itu menunjukkan beliau seorang “bodoh”.

Tambahnya, urusan agama adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Sebelum ini, Nazri berkata usaha Kelantan memperkenalkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah adalah disebabkan hukuman yang ada masih gagal menyekat penduduknya daripada melakukan kesalahan syariah.

“Saya hanya boleh merumuskan, barangkali di Kelantan, hukuman yang sedia ada tidak memadai.

Katalah orang yang minum (arak) kena 6 sebatan, ia masih tidak menahan orang Islam daripada minum. Mungkin nak 100 sebat baru takut, berhenti,” katanya kepada FMT November lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355, membenarkan pesalah dihukum sehingga 30 tahun penjara, RM100,000 denda atau 100 kali sebatan.

Akta sedia ada menghadkan hukuman maksima kepada 3 tahun penjara, denda RM5,000 atau 6 kali sebatan.

Tiada ulasan: