Selasa, 18 Julai 2017

Nazri menggeletar saya kawan baik Anwar, kata Dr Mahathir

 
Dr Mahathir menjawab andaian beliau dan bekas timbalannya akan 'saling berbunuhan' dalam Pakatan Harapan.


mahathir-anwar-nazri-3


SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kini dalam keadaan ketakutan melihat dia bersama-sama bekas seterunya Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Pakatan Harapan (PH).

“Sebab dia takut. Dia menggeletar pasal saya kawan baik dengan Anwar,” kata pengerusi PH itu di sebuah ceramah di Shah Alam malam tadi, menjawab ulasan menteri pelancongan itu mengenai barisan kepimpinan gabungan 4 parti itu yang diumumkan minggu lalu.

“Dia sekarang tidak lena tidur,” kata Dr Mahathir.

Nazri semalam berkata gandingan Mahathir-Anwar menandakan masa depan PH yang gelap, dan berkata kedua-dua tokoh itu akan “saling berbunuhan”.

“Saya rasa bagus sebab mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain.

“Saya mahu mereka mati perlahan-lahan, kalau quick death (mati cepat) tak syok,” kata Nazri.

“Bila seorang mati, pilihan raya umum nanti ada isu lain pula. Dia orang bangkit. Jadi biar mereka mati perlahan-lahan. Mungkin lebih baik mereka mati selepas pilihan raya umum akan datang.”

Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah Ali bersama pimpinan Pakatan Harapan lain di Shah Alam lewat malam tadi.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah Ali bersama pimpinan Pakatan Harapan lain di Shah Alam lewat malam tadi.

PH minggu lalu melantik Dr Mahathir sebagai pengerusi manakala Anwar sebagai ketua umum.
Ia turut mengumumkan logo bersama pada pilihan raya umum depan.

Dr Mahathir mempersoalkan tuduhan beliau menyertai gabungan pembangkang kerana kecewa anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak diangkat menjadi perdana menteri.

“Masa saya jadi perdana menteri, saya tak angkat anak saya naik. Saya angkat Datuk Seri Najib Razak naik, tapi dia tak pernah berterima kasih,” katanya.

Dalam ceramahnya semalam, Dr Mahathir memberi bayangan mengambil tindakan ke atas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali jika PH menang pada pilihan raya umum akan datang.

“Kalau nak tahu peguam negara buat salah atau tidak, bagi kemenangan kepada PH.

“Bila kita menang, kita akan kata… ‘Hey peguam negara, awak buat salah atau tidak sembunyi bukti jenayah?’ Pada masa itu dia akan tahu.

“Jadi nak sampai ke situ kena bagi PH menang,” katanya.

Tiada ulasan: