Rabu, 5 Julai 2017

Najib lebih risau keadaan ekonomi negara berbading skandal 1MDB

Berita Daily Staff

Perdana Menteri tahu jika rakyat tidak yakin beliau boleh membaiki kedudukan ekonomi, beliau akan kalah PRU14 nanti, kata Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Najib Razak lebih risau isu GST, kenaikan harga barang, bagaimana menaikkan gaji dan kebimbangan mengenai pekerja asing dalam menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke 14 (PRU14).

Demikian kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang berpendapat bahawa masanya sudah tiba bagi Pakatan Harapan untuk mengimbangi tumpuan yang (kadang-kadang) terlampau ke atas isu 1MDB dan mula memberi tumpuan yang sewajarnya kepada cara-cara membantu rakyat.

“Walaupun berdepan dengan pelbagai skandal dan krisis keyakinan, Najib tahu bahawa cabaran sebenar beliau ialah mengatasi kesusahan rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang, kenaikan gaji yang rendah serta kebanjiran pekerja asing yang menyempitkan lagi peluang pekerjaan.”

“Beliau tahu golongan pengundi atas pagar tidak begitu terpengaruh dengan skandal kewangan 1MDB atau tindakan undang-undang Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhubung penyelewengan 1MDB. Sebaliknya, golongan pengundi atas pagar yang bakal menentukan keputusan PRU14 lebih cenderong mengikuti isu GST, kenaikan harga barang, bagaimana menaikkan gaji dan kebimbangan mengenai pekerja asing,” jelas Rafizi.

“Sebab itu, Najib cukup sensitif apabila prestasi ekonomi negara semasa pentadbiran beliau dipersoalkan. Beliau tahu jika rakyat tidak yakin beliau boleh membaiki kedudukan ekonomi, beliau akan kalah PRU14 nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, susulan tindakan Najib menyenaraikan kejayaan-kejayaan ekonomi yang telah dicapai oleh pentadbiran beliau sejak setengah tahun lalu, Rafizi juga merupakan Naib Presiden PKR menegaskan bahawa kesemua (kononnya) kejayaan ekonomi yang telah dicapai: pertumbuhan ekonomi yang makin rancak, nilai Ringgit yang makin mengukuh, pelaburan asing yang tinggi, projek mega seperti MRT, Jaringan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Keretapi Laju KL-Singapura (HSRL) dan lain-lain tidak diterjemahkan kepada peningkatan mutu hidup rakyat.

“Lebih ringkasnya, rakyat tidak merasa pun kejayaan-kejayaan ekonomi yang diwar-warkan itu kerana ia tertumpu di kalangan beberapa kelompok sahaja,” ujar beliau.

Tambahnya, ukuran sebenar peningkatan mutu ekonomi rakyat dilihat dari tiga perkara besar: berapa gaji yang diperolehi dan peningkatan gaji, berapa kos menyara keluarga yang perlu ditanggung (kedua-dua ini boleh diukur dari “pendapatan boleh belanja” atau disposable income) dan berapa banyak peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kelulusan mereka.

“Kejayaan-kejayaan ekonomi yang dijaja oleh Najib itu dilihat menguntungkan golongan tertentu sahaja: projek-projek besar yang disebut rata-ratanya menggunakan pekerja asing dan kepakaran asing, pertumbuhan ekonomi yang dibanggakan tidak pula diterjemahkan kepada gaji yang lebih tinggi kepada rakyat dan nilai Ringgit yang mengukuh tidak pun menurunkan harga barang.”

Rafizi juga yakin dengan pandangan beliau dalam isu ekonomi semasa, kerana INVOKE sedang menyiapkan dua kajiselidik besar mengenai sentimen rakyat terhadap prestasi ekonomi di bawah pentadbiran Najib.

“Setakat ini kami sudah menyiapkan 50% dari kajiselidik dan dijangka akan dapat dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh sebulan,” katanya.

“Dapatan kajiselidik sentimen rakyat setakat ini dengan jelas menunjukkan tahap ketidakpuasan hati terhadap keadaan ekonomi yang sangat tinggi dan bertentangan dengan “berita-berita kejayaan ekonomi” yang cuba diwar-warkan Najib.”

“Saya yakin apabila keputusan kajiselidik itu diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi, Najib perlu mengambil kira sama ada beliau berani memanggil PRU14 dalam tahun ini ketika rata-rata rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan prestasi pentadbiran ekonomi beliau,” jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: