Sabtu, 15 Julai 2017

Najib: BTN perlu pastikan kemenangan BN dalam PRU




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Biro Tatanegara (BTN) masih relevan selepas 36 tahun ditubuhkan, termasuk bagi memastikan kemenangan BN pada setiap kali pilihan raya umum.

Oleh demikian, katanya, BTN perlu terus memainkan peranan dalam memastikan kerajaan dapat meneruskan kepimpinan dengan agenda untuk bangsa, agama dan negara.

"BTN ditubuhkan dengan peranan tertentu dengan objektif-objektif yang khusus untuk menyumbang kepada terbentuknya semangat di kalangan rakyat Malaysia untuk menjamin sebuah kerajaan yang dapat terus melangsungkan kepimpinannya, melangsungkan kekuasaannya kerana agenda atas nama bangsa, agama dan negara menjangkau tempoh yang memerlukan sebuah kerajaan yang dapat bertahan lama.

"Dan di atas semangat itulah BTN perlu diteruskan dan BTN masih memainkan peranannya sehingga hari ini serta masih kekal relevan dan perlu diteruskan sehingga PRU 14,15,16,17 untuk kita dapat jaminan kemenangan," kata Najib.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam sambutan Hari Raya agensi-agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Akademi Biro Tatanegara, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Najib, generasi hari ini bertuah kerana tidak perlu berdepan dengan jerih payah generasi dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan.

"Sebab sebagai sebuah negara kita melihat kepada munculnya generasi terkemudian seperti yang kita sebut generasi melenia yang tidak melalui jerih payah generasi terdahulu dengan babak-babak perjuangan menentang penjajah, cabaran politik dan sebagainya yang sangat-sangat kritikal hari ini.

"Generasi hari ini lebih bertuah, lebih terdidik dan lebih mewah kerana apa? Kerana hasil perjuangan yang dibawa kerajaan," kata Najib.

BTN adalah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang ditubuhkan pada 1981.

Tiada undang-undang rimba

Sementara itu, Najib turut berterima kasih kepada agensi undang-undang kerana melaksanakan tugas dengan baik dan menafikan bahawa Malaysia mengamalkan undang-undang rimba.

"Terima kasih juga kepada semua jabatan yang berkaitan undang-undang kerana mengingatkan kepada kita bahawa negara kita ini bukanlah negara yang ditadbir atas undang-undang rimba sebaliknya perlembagaan persekutuan yang sangat dihormati dan disanjung tinggi.

"Semoga sambutan Hari Raya ini memberi kita kesedaran bahawa kita berada dalam negara aman.

"Walaupun ada ancaman tetapi disebabkan kita ada perlembagaan persekutuan, kita ada polis yang berkuasa, kita ada BTN yang tanam semangat patriotisme kita dapat menjamin sambutan (hari raya) ini berjalan dalam suasana aman," tambah Najib.

Kerajaan mendakwa BTN dilaksanakan untuk menepati objektif utama iaitu memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara di kalangan warganegara Malaysia.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: