Khamis, 20 Julai 2017

'Naikkan had 18 tahun bagi perkahwinan gadis'

 


Sayap wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa had umur perkahwinan bagi wanita ditingkatkan kepada 18 tahun, menjadikannya setanding dengan usia minimum bagi lelaki.

Anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata undang-undang pada masa ini membolehkan anak perempuan berkahwin pada usia 16 tahun dan ia perlu diubah bagi menghapuskan perkahwinan bawah umur.

"Perkahwinan kanak-kanak bukan isu terpinggir di Malaysia. Terdapat hampir 9,000 kes dari 2010 hingga 2015 melibatkan 6,268 orang Islam dan 2,775 orang bukan Islam.

"Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak bersedia dari segi emosi, mental dan ekonomi untuk memikul tanggungjawab perkahwinan dan keibubapaan," kata Teo dalam satu kenyataan bagi pihak sayap wanita HARAPAN di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Dewan Rakyat telah meluluskan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 awal tahun ini. Namun katanya, ketika ia melindungi kanak-kanak di bawah 18 dari hubungan seksual, ia tidak dapat menghalang perkahwinan kanak-kanak.

Teo berkata perkahwinan sebegini seringkali memusnahkan pendidikan seseorang gadis, selain mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih tinggi dalam penderaan dan seksual.

"Lebih buruk lagi, Malaysia mempunyai kadar hukuman yang sangat rendah untuk kes penderaan seksual kanak-kanak," katanya.

Ketua Wanita PKR dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa usia minimum perkahwinan untuk kanak-kanak perempuan dan lelaki perlu sama.

Pada bulan Disember tahun lepas, Malaysia mengesahkan resolusi PBB untuk menghalang perkahwinan kanak-kanak, dan meminta negara-negara anggota menghentikan perkahwinan tersebut.

Ahli politik wanita dari DAP, PKR dan AMANAH hadir pada sidang akhbar hari ini.  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal menghantar wakil tetapi pihaknya bersetuju dengan kenyataan bersama itu.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: