Selasa, 11 Julai 2017

Muhyiddin dakwa UMNO takut tsunami Melayu

Wartawan MalaysiaGazette
-


Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa pimpinan UMNO sekarang gelabah dengan tsunami Melayu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ‘ketakutan’ itu dapat dilihat apabila para pemimpin UMNO ‘menyerang PPBM’ dalam mesyuarat bahagian UMNO yang berlangsung sekarang.

“Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim tidak semena-mena mengumumkan beliau bersedia melawan saya di Parlimen Muar dalam PRU-14.

“Katanya saya sedang membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Saya merasakan bahawa pemimpin UMNO sedang gelabah,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO itu lagi, PPBM kini semakin mendapat sambutan termasuk di Johor – kawasan dahulu kubu kuat UMNO.

“Fenomena ini sedang berlaku di seluruh negara. Malah, beberapa hari lalu di Melaka, iaitu sebuah negeri yang dikatakan antara kubu kuat UMNO selepas Johor, puluhan ribu rakyat hadir ke majlis sambutan Aidilfitri PPBM. Ini adalah sesuatu yang saya sendiri tidak jangkakan semasa menubuhkan PPBM,” katanya.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: