Khamis, 6 Julai 2017

MH17: Negara penyiasat mahukan pendakwaan dibuat di Belanda

BERNAMA

bangkai MH17


Negara-negara Pasukan Siasatan Bersama (JIT) bersetuju agar pendakwaan peringkat kebangsaan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan penerbangan Malaysia Airlines MH17 terhempas hampir tiga tahun lalu, dilakukan di Belanda.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata satu keputusan bersama dicapai oleh Malaysia bersama rakan-rakan JIT, Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia berhubung pendakwaan sebagai proses berkesan bagi menjamin akauntabiliti yang mematuhi standard tertinggi antarabangsa.

"Ini sejajar dengan komitmen kita yang tidak berganjak untuk mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan khususnya untuk keluarga dan orang-orang tersayang daripada penumpang dan kru penerbangan MH17.

"Kami juga sukacita mendapat tahu Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda akan membuat keputusan yang perlu mengenai pendakwaan dalam masa sewajarnya memandangkan siasatan jenayah masih berjalan," katanya.

Liow berkata, perbicaraan akan berlangsung dalam kerangka prosiding kehakiman jenayah Belanda.
Katanya, sistem perundangan Belanda menjamin hak yang besar kepada waris untuk memerhati dan menyertai prosiding.

Selain itu Belanda mengekalkan kerangka perundangan bersama dengan banyak negara untuk bantuan perundangan dan ekstradisi, berdasarkan perjanjian multilateral dan bilateral.

Liow berkata, dengan perkembangan ini, Malaysia kini semakin tekad mendapatkan keadilan dan sebagai anggota JIT, Malaysia tetap mahukan mereka yang bertanggungjawab berhadapan tragedi itu didakwa.

"Memandangkan situasi geopolitik yang kompleks, adalah penting siasatan jenayah dikendalikan secara bebas.

"Oleh itu, pada tahap ini, adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang hasil siasatan itu,"kata Liow.

MH17 ditembak jatuh ketika terbang di ketinggian 30,000Â kaki di ruang angkasa bergolak di timur Ukraine dekat sempadan Russia pada 17 Julai, 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 44 warga Malaysia.

Pada 28 September, kumpulan penyiasat antabangsa diketuai oleh Belanda merumuskan bahawa pesawat berkenaan terkena tembakan peluru misil Buk yang dibawa dari Russia ke Ukraine.

Tiada ulasan: