Sabtu, 8 Julai 2017

Mesyuarat tergempar DAP hari ini bincang arahan ROS

MALAYSIA DATELINE

DAP dan ROS

DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini di Kuala Lumpur untuk membincangkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya parti itu membuat pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) baharu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata walaupun masih belum menerima surat, DAP melihat arahan terbaru ROS itu sebagai satu tindakan yang serius.

Menurutnya, pihaknya perlu meneliti isi kandungan surat rasmi daripada ROS kepada DAP terlebih dahulu, sebelum menentukan tindakan yang akan diambil parti.

Semalam, Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata arahan itu dibuat ekoran pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah.

Kata Mohammad Razin, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid kemudian menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh ROS hendaklah berlandaskan Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.

"Ingin ditegaskan di sini bahawa ROS menganggap DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini ROS tidak berniat sama sekali untuk membatalkan (pendaftaran) DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohammad Razin ROS berpendapat pelantikan anggota CEC serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan pada 2013 adalah tidak sah.

"Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC bertarikh 15 Disember 2012, iaitu melibatkan 2576 perwakilan dari 865 buah cawangan.

"Justeru, ROS mengambil pendirian supaya DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC baru yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 orang anggota CEC diiktiraf.

"Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP," katanya.

DAP mengadakan pemilihan pada 15 Disember 2012 tetapi berlaku kesilapan teknikal sehingga menjejaskan keputusannya.

Parti itu kemudian secara sukarela mengadakan pemilihan semula pada 29 September 2013, namun sebahagian daripada anggota parti tidak berpuas hati kerana mendakwa belaku kepincangan.

Mereka kemudian membuat aduan kepada ROS.

Jika DAP mematuhi arahan yang dikeluarkan ROS hari ini, parti itu akan mengadakan pemilihan kali ketiga untuk jawatan bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Mandat anggota CEC dan pemimpin lain parti itu berakhir pada September lalu namun perlembagaan DAP membenarkan pemilihan ditunda sehingga 18 bulan.

Mohammad Razin menjelaskan, pemilihan semula itu penting kerana pelantikan bagi jawatan utama sesebuah parti memberi kesan kepada kesahihan urusan pertubuhan berkenaan.

Katanya, penyandang jawatan utama mempunyai kuasa untuk menandatangani watikah pelantikan calon untuk mewakili parti dalam pilihan raya yang diiktiraf Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"ROS akan mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula 20 anggota baru yang sah berpandukan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP bagi membolehkan ia diiktiraf," katanya.

Tiada ulasan: