Ahad, 16 Julai 2017

Mata pelajaran Perlembagaan perlu diwujudkan di sekolah IPT


ISMA WEB




PARIT – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan mata pelajaran asas mengenai Perlembagaan diwujudkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bertujuan menerapkan pemahaman yang lebih tinggi dalam kalangan golongan muda mengenai sejarah negara.

“Subjek itu penting untuk menjaga hak-hak istimewa orang Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan dan perkara-perkara yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

“Di sekolah, pendidikan mengenai Perlembagaan boleh diserapkan ke dalam mata pelajaran Sejarah manakala di IPT diwajibkan kursus Perlembagaan kepada pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Melayu Perkasa Negeri Perak di Seri Iskandar dekat sini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, ttaklimat secara berkala mengenai Perlembagaan juga harus diberikan kepada golongan profesional, kakitangan kerajaan serta kelompok masyarakat.

“Perkara ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pertikaian demi pertikaian oleh sesetengah pihak tentang hak keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan agama Islam dalam Perlembagaan. Mereka ini buat begitu kerana tidak faham,” katanya.


Tiada ulasan: