Rabu, 5 Julai 2017

Masjid berkunci sukarkan jemaah


Masjid berkunci sukarkan jemaah
Kiriman bergambar daripada orang awam yang terpaksa menunaikan solat Maghrib di koridor disebabkan masjid berkunci dalam kejadian Ahad lalu.
 
REMBAU - Orang awam yang menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan terutamanya semasa masuknya waktu solat rasa kesal apabila masjid yang seharusnya terbuka menerima kedatangan jemaah dikunci.

Orang awam, Rozmal Malakan, 52, berkata, dia ada menerima aduan berkaitan masalah itu sehingga menyebabkan jemaah yang hadir pada waktu solat Maghrib terpaksa solat di koridor sahaja.

Menurutnya, sewajarnya masalah itu tidak berlaku dan setiap kali masuknya waktu solat, kemudahan masjid yang disediakan haruslah terbuka menerima kedatangan jemaah.

“Setakat ini kita sudah terima aduan masjid berkunci semasa masuknya waktu solat di dua masjid kariah di daerah ini. Kita harap masalah ini tidak berulang memandangkan masih ada penduduk serta orang awam yang dalam perjalanan singgah ke masjid apabila masuknya waktu solat.

“Kita faham sekiranya waktu selepas solat fardu berjemaah masjid dikunci bagi mengelakkan kejadian kecurian, namun pada masa masuknya waktu solat, masjid dikunci adalah tak sesuai,” katanya.

Rozmal berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab memandang serius permasalahan ini dan mengambil langkah penyelesaian bagi memastikan masjid dapat diimarahkan pada waktu solat.

Katanya, jawatankuasa masjid bolehlah meletakkan amanah memegang kunci bukan hanya kepada imam atau satu individu, bahkan kepada lebih dari seorang bagi memastikan masjid dapat dibuka tepat pada waktunya.

“Jika ada beberapa halangan, mereka boleh melantik sukarelawan terdiri daripada masyarakat setempat yang masih muda untuk melakukan kerja membuka masjid dan azan di masjid.

“Kita harap semua pihak akan dapat menyelesaikan masalah ini demi kebaikan bersama,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rembau sudah sedia maklum mengenai aduan secara tidak rasmi berkenaan, susulan ia telah dimuat naik di Facebook seseorang.

Sebagai langkah awal, PAID Rembau akan mengesahkan kebenaran dakwaan tersebut dengan memanggil jawatankuasa masjid yang dimaksudkan dan melakukan siasatan.

Sebanyak 42 masjid terdapat di daerah ini dan aduan seumpama itu baru pertama kali diterima PAID Rembau.

Tiada ulasan: