Ahad, 16 Julai 2017

Mampukah Pakatan Harapan ‘gegarkan’ arena politik negara ? Persoalannya………?

THE MALASIAN TIMES



KUALA LUMPUR : Persoalannya adakah konsensus Pakatan Harapan dalam menamakan struktur kepemimpinan baharu mereka tulen?

Ini menimbulkan persoalan di kala pembangkang masih tidak berupaya menamakan calon perdana menteri mereka dan ini sesuatu yang menghairankan, kata pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan.

Beliau berkata bagaimana pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kononnya secara konsensus boleh bersetuju dalam perkara itu tetapi tidak dalam soal calon perdana menteri.

“Memang ‘menakjubkan’ apabila pembangkang yang tidak mampu menamakan calon perdana menteri mereka, boleh pula secara konsensus membuat keputusan (mengenai struktur) jawatan terpenting (dalam Pakatan Harapan).

“Sebab itu terdapat kepercayaan bahawa keputusan menentukan pengisian jawatan-jawatan itu hanyalah untuk mengaburi persepsi penyokong mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

​​​​​​​Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai pengumuman Pakatan Harapan pada Jumaat mengenai struktur kepimpinan baharu dengan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim  (PKR-ketua umum) dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-presiden).

Pakatan itu turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (PAN) sebagai timbalan presiden.

Azmi turut hairan bagaimana Dr Mahathir, yang mewakili sebuah parti yang tiada sejarah kekuatan politik atau memberi manfaat kepada Pakatan Harapan boleh diberikan jawatan penting itu.

Katanya, ketiadaan wakil DAP dalam tiga jawatan utama itu juga menimbulkan persoalan, sedangkan parti itu memiliki lebih banyak kerusi Parlimen berbanding sekutunya yang lain.

“Dalam politik, perkara ini (persetujuan DAP terhadap pengisian tiga jawatan utama dalam Pakatan Harapan) tidak mungkin boleh berlaku, kecuali DAP mempunyai “kuasa tersirat” dalam membuat keputusan dalam pakatan itu.

“Terdapat kepercayaan bahawa Dr Mahathir sebagai pengerusi sebenarnya menguntungkan DAP kerana jawatan pengerusi itu sebenarnya mungkin “dikemudi” oleh DAP,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed pula melihat struktur jawatan pakatan pembangkang itu sebagai satu usaha untuk mengurangkan konflik dan ketegangan mengenai siapa sebenarnya ‘peneraju’ dalam Pakatan Harapan.

Katanya, kewujudan jawatan-jawatan utama iaitu ketua umum, pengerusi dan presiden dalam pakatan itu dibuat untuk melibatkan semua pihak, mungkin bagi mengelakkan persepsi bahawa gabungan itu diterajui oleh individu atau parti tertentu sahaja.

“Tetapi timbul persoalan mengenai siapa yang lebih berkuasa dalam Pakatan Harapan kerana kita lihat walaupun Anwar dalam penjara namun kedudukan beliau dalam pakatan masih dipertahankan,” katanya.

Ahmad Martadha turut menyifatkan pelantikan pemimpin-pemimpin Melayu menerajui tiga jawatan utama itu bertujuan untuk menarik sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Harapan yang sebelum ini kerap dilabelkan sebagai sebuah gabungan yang diterajui DAP.

“Walaupun tiada wakil DAP dalam tiga jawatan utama itu, kita tahu bahawa DAP masih mempunyai pengaruh yang besar dan memainkan peranan yang penting dalam pembangkang kerana mereka memiliki kerusi Parlimen paling banyak,” katanya.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berpendapat pelantikan Dr Mahathir untuk jawatan penting dalam Pakatan Harapan itu telah diduga kerana bekas perdana menteri itu sememangnya diperlukan untuk gabungan itu untuk menarik sokongan rakyat.

Bagaimanapun katanya, ia tidak cukup untuk memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang kerana banyak faktor lain yang menjadi penghalang terutama sokongan masyarakat luar bandar terhadap Barisan Nasional. — BERNAMA


Tiada ulasan: