Ahad, 30 Julai 2017

Malaysia sedia bantu Indonesia tangani kebakaran hutan

Bernama

Kerajaan memandang serius masalah berkenaan yang boleh menyebabkan jerebu.

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia menghantar anggota dan pegawai bomba ke Indonesia untuk membantu memadam kebakaran hutan dan ladang di republik itu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kerajaan memandang serius masalah berkenaan yang boleh menyebabkan jerebu dan sedia menyalurkan bantuan pada bila-bila masa.

“Saya sudah berbincang dengan Shahidan Kassim yang mengawal selia bomba dan juga pasukan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia), dia sudah memberi jaminan bahawa kita sentiasa bersiap sedia pada bila-bila masa sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Larian Terowong SMART 2017, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) memberi amaran mengenai peningkatan ancaman kebakaran hutan berikutan musim kemarau yang dijangka bertambah buruk malah beberapa kawasan panas telah dikesan di Aceh menyebabkan wilayah itu mengalami jerebu.

Bagaimanapun, Agensi Pemulihan Tanah Gambut Indonesia dilaporkan memberi jaminan bahawa negara jiran seperti Malaysia dan Singapura tidak mengalami jerebu kerana pihaknya telah mengambil langkah baharu untuk menghentikan kebakaran hutan.

Menjelas lanjut, Wan Junaidi berkata beliau telah bertemu gabenor Riau dan Jambi selain merancang untuk berjumpa dengan gabenor Acheh bagi membincangkan soal bantuan itu.

Beliau turut berterima kasih kepada Indonesia atas tindakan sistematik dan agresif dalam menangani jerebu dan yakin langkah proaktif yang diambil republik itu mampu menangani masalah jerebu sekali gus menjadikan negara ASEAN bebas jerebu menerusi Pelan Tindakan Bebas Jerebu menjelang 2020.

Terdahulu, Wan Junaidi melepaskan kira-kira 1,800 peserta larian anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-85 penubuhan jabatan itu dan ulang tahun ke-10 pengoperasian Terowong SMART.

Ini merupakan kali kedua program itu dianjurkan sejak Mac 2007.

Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) sejauh 9.7 kilometer yang dibuka pada Jun 2007 itu merupakan terowong dwifungsi yang digunakan sebagai laluan trafik dan aliran air mampu melencongkan limpahan air 1.16 juta meter padu sekiranya berlaku hujan lebat tanpa henti selama tiga jam.

Menurut Wan Junaidi, sehingga 15 Julai lepas, sebanyak 299 kali kejadian banjir berlaku di ibu kota berjaya dilencongkan melalui pelbagai mod iaitu dengan mengalihkan air banjir menerusi tadahan Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Sungai Kerayong daripada melimpah ke pusat bandar raya.

“Kejayaan Terowong SMART ini membuktikan negara kita berjaya mewujudkan pakar-pakar dalam bidang ini setanding dengan rakyat di negara maju dan kita seharusnya berbangga kerana ia telah menjadi tarikan negara luar misalnya Putera Mahkota Jepun dan Menteri Sumber Air China kagum dengan operasi SMART,” katanya.

Antara kawasan rendah di ibu kota yang kini hampir bebas banjir hasil terowong SMART ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kampung Baru, Jalan Tun Razak, Jalan P. Ramlee dan beberapa lagi jalan utama.-Bernama

Tiada ulasan: