Isnin, 10 Julai 2017

Mahkamah tolak saman Salleh, NFCorp terhadap Nurul Izzah

Mahkamah tolak saman Salleh, NFCorp terhadap Nurul Izzah
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bersama pasukan peguamnya di luar Mahkamah Rayuan hari ini selepas kes saman terhadapnya oleh Pengerusi Eksekutif NFCorp Mohamad Salleh Ismail ditolak. – Gambar ihsan Nurul Izzah Anwar
 
PENGERUSI Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Mohamad Salleh Ismail kalah sekali lagi dalam saman malu mereka terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan PKR berhubung kenyataan mengenai pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Salleh dan mengarahkan beliau membayar kos RM50,000 kepada Nurul Izzah dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Panel tiga hakim dipengerusikan Abang Iskandar Abang Hashim berkata tiada merit dalam rayuan difailkan Salleh dan NFCorp untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Mac lalu yang menolak saman malu itu.

Salleh merupakan suami kepada Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil.

Nurul Izzah memberitahu The Malaysian Insight beliau bersyukur kerana berjaya memenangi kes ini.

“Keputusan ini amat penting dalam mempertahankan hak pemimpin menyuarakan kritikan berkait perjanjian serta pembelian yang layak dipersoalkan, khususnya dalam mewujudkan mekanisme timbang tara demi manfaat masyarakat,” kata naib presiden PKR itu.

Pada Mac 4 lalu, hakim Mahkamah Tinggi Hue Siew Kheng menolak saman itu dan menganggap kenyataan Nurul Izzah bukan fitnah memandangkan ia dibuat atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen.

Hue berkata kenyataan Nurul Izzah itu ditujukan terhadap isteri Salleh, Shahrizat yang juga bekas ahli Parlimen Lembah Pantai.

Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Nurul Izzah dan partinya pada Disember 2013 berhubung pendedahan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengenai pembelian lapan unit hartanah Salleh yang menggunakan dana NFCorp.

Nurul Izzah dan PKR diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli dan Joshua Kevin Sathiaseelan, manakala Salleh diwakili Muhammad Shafee Abdullah.


Tiada ulasan: