Ahad, 23 Julai 2017

Mahfuz: 'Saya tiada masalah jika tidak dicalonkan pada PRU14'

Oleh Syed Muaz Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya 'digugurkan' daripada mewakili PAS semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
Sebaliknya bekas Naib Presiden PAS itu berkata beliau akan lebih kecewa sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal sebagai parti pemerintah selepas PRU14.
 
"Saya tidak ada masalah yang penting saya nak lihat kerajaan baru pada pilihan raya akan datang.
 
"Saya tidak ada masalah sama ada saya bertanding ataupun tidak dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada Antarapos.
 
Untuk rekod Mahfuz kali pertama bergelar Ahli Parlimen Pokok Sena pada PRU 2008 dan beliau mencipta kejutan apabila berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada PRU13 dengan 34,657 undi mengalahkan calon BN Datuk Shahlan Ismail yang memperoleh 30,485 undi.
 
Isu kedudukan Mahfuz menjadi tanda tanya dan mula dipertikaikan sejak tahun lepas apabila dilihat lebih cenderung bersama Parti Amanah Negara (Amanah) yang diasaskan bekas pimpinan PAS diketuai Mohamad Sabu.
 
Selain itu, Mahfuz juga cenderung bersama komponen pembangkang dalam mengadakan pelbagai program sehingga pernah mengkritik PAS  sebagai ‘parti makan keliling’ yang tidak disenangi kepemimpinan parti Islam itu.
 
Wakil rakyat selama dua penggal ini turut dicabar keluar PAS namun Mahfuz sebaliknya mengatakan akan tetap bersama PAS.
 
PRU14 selepas Najib yakin kedudukan prestasi BN
 
Mahfuz menambah keputusan mengenai kedudukannya terserah kepada pucuk pimpinan parti sama ada masih mahu meletak beliau sebagai calon pada PRU14 atau sebaliknya.
 
"Itu bukan masalah pada saya, masalah pada saya ialah kalau BN tidak dapat dikalahkan.
 
"Itu masalah kepada saya kerana saya sangat merasai denyut nadi rakyat dan keperitan rakyat di bawah BN...itu masalah kepada saya dan juga rakyat," katanya.
 
Beliau yang pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah berkata pada masa ini beliau akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena sehingga Parlimen dibubarkan.
 
"Kalau saya tidak bertanding itu tidak menjadi masalah," katanya.
 
Dalam pada itu Mahfuz berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan membubarkan Parlimen selepas meningkatkan prestasi serta peluang yang mendorong kemenangan BN termasuk dalam pelaksaan bajet tahun hadapan.
 
"Bagi saya bahawa pilihan raya memang dijangka akan diadakan pada tahun depan maknanya selepas daripada pelaksanaan bajet.
 
"Sebahagian daripada pelaksanaan bajet itu akan dapat dimainkan dan itulah yang akan dilihat satu political will atau suasana yang kondusif untuk BN," katanya.
 
 

Tiada ulasan: