Jumaat, 14 Julai 2017

Logo PH: Netizen beri pelbagai reaksi

 
Selain memuji ada netizen menyamakan logo tersebut dengan logo siri Star Trek, Telegram dan Freemason.


Harapan

PETALING JAYA: Logo baru Pakatan Harapan (PH) menarik pelbagai reaksi netizen di media sosial, ada menyukai reka bentuknya yang ringkas dan ada juga yang mengejek kerana ia kelihatan sama dengan logo siri sains fiksyen yang popular.

Seorang pengguna Twitter, Saladin berkata, logo baru yang tertulis perkataan “Harapan” pada latar merah dengan huruf “A” di tengah-tengah dalam bentuk segi tiga itu nampak “ringkas dan elegan”.

“Saya suka logo PH yang baharu ini,” kata Saladin.

Seorang pengguna lain yang dikenali sebagai Akmal Akhpah beranggapan pakatan pembangkang memiliki logo yang tepat sekarang.

“Tentunya ia logo terbaik dalam kalangan parti politik di Malaysia,” tulisnya di laman blog mikro itu.

Sementara itu di laman Facebook FMT, seorang pengguna David Ng berkata ia logo yang sangat cantik.

“Ia menangkap imaginasi.”

Pengguna media sosial lain mempersenda reka bentuk logo tersebut dan kebanyakan mereka mengatakan logo itu mengingatkan pada siri Star Trek.

Mereka juga berkongsi imej mendiang Leonard Nimoy yang mengangkat tangan simbol makhluk asing Vulcan yang bermaksud “moga panjang umur dan makmur”.

Sementara itu, AzfarAPA berkata ia kelihatan seperti PH meniru logo Telegram – aplikasi menghantar mesej popular – dengan membuat sedikit pengubahsuaian.

Seorang pengguna lain, PolitikTongong2 berkata logo baharu itu diilhamkan oleh Freemason, sebuah organisasi yang sering disebut dalam teori konspirasi.

“Adakah mereka bergurau? Mesti mereka ada agenda tersembunyi”.

Beberapa pengguna media lain mengkritik penggunaan warna, mengatakan merah dan putih menyerupai warna Umno dan warna PPBM, dan menggesa pembangkang menggunakan warna neutral.

PH pernah mengalami kesukaran dalam usaha pencarian logo bersama gabungan itu.

Pada Mei, pengguna internet mulanya mengkritik 3 rekaan logo yang dicadangkan.

Dua daripadanya tertera “HARAPAN” dengan sinaran terpancar dari perkataan, sementara reka bentuk ke-3 memaparkan ibu jari sebagai tanda “bagus” bersama dengan perkataan “PAKATAN HARAPAN”.

*Nurul Azwa dan Afiqah Farieza menyumbang kepada artikel ini.

Tiada ulasan: