Ahad, 23 Julai 2017

Lagu Despacito: Tahniah netizen, orang awam

Oleh DR RIDUAN MOHD NOR




KEPUTUSAN segera Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang mengarahkan semua radio dan saluran televisyen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan siaran lagu popular, Despacito serta-merta adalah tindakan baik bagi maslahat awam di negara ini.

Lagu berjudul Despacito nyanyian asal Justin Bieber ft Luis Fonsi & Dady Yankee cepat menangkap minat golongan belia dan remaja sehingga mendapat tontonan lebih 2 bilion kali di YouTube. Lagu itu dibantah kerana liriknya yang keterlaluan dan berbaur seksi.

Satu perkara yang baik adalah, sikap netizen yang amat prihatin dan peka dengan perkembangan semasa khususnya melibatkan anak-anak muda. Golongan yang membantah ini merasa terpanggil untuk tidak melihat semakin banyak keruntuhan akhlak dan moral terhadap generasi muda.
Penyumbang utamanya yang dikenalpasti daripada aktiviti hiburan yang melampau yang tidak ada batasan.

Lagu Despacito mungkin satu daripada banyak lagu yang dibawa masuk ke negara dengan menyelit unsur tidak sihat terhadap perkembangan minda para belia. Mungkin ada lagu lain yang disedari atau tidak, sudah atau belum masuk ke negara ini yang membawa pelbagai mesej lucah, melampau, seksi dan lain-lain yang keterlaluan.

Bagi umat Islam, sememangnya kita menyedari ia adalah jarum halus yang menyucuk tubuh anak-anak muda agar ghairah dengan keseronokan, kekebasan, pergaulan tanpa batasan dan cinta muda-mudi yang mengasyikkan. Bayangkan jika dibiarkan menjadi fenomena dalam industri hiburan negara dan menjadi dendangan atau siulan anak-anak muda. Mungkin keadaannya menjadi lebih rumit untuk ditangani.     

Apa yang membimbangkan, elemen negatif, liar dan merosakkan mudah sangat diterima anak-anak muda, menjadi ikutan dan tontotan ramai. Dikira lebih 2 bilion tontotan seluruh dunia di Youtube, dan rakyat Malaysia tidak kurang yang menontonnya. Lagu seperti ini mudah mendapat tempat di hati peminat hiburan sedangkan lirikinya tidak langsung mengandungi mesej yang baik malah tidak sesuai dengan budaya dan adat resam anak muda. Alangkah baiknya jika sesuatu perkara yang baik dan membangun minda masyarakat khususnya golongan belia pula mendapat tarikan dan ikutan pula sehingga menjadi fenomena luar biasa.

Apa yang diharapkan adalah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebagai agensi yang bertanggungjawab memantau siaran media di negara ini cepat memantau pekembangan industri hiburan di negara ini. Jangan hanya menunggu laporan dan rungutan netizen untuk bertindak, sebaliknya apa juga elemen yang cuba dibawa masuk ke negara ini atau cuba dicetuskan oleh rakyat di negara ini mesti ditegah serta merta. Selain itu, pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti konsert-konsert hiburan, pesta-pesta hiburan yang melibatkan artis luar negara perlu diperketatkan kelulusan agar hanya mereka yang berimej bersih sahaja layak membuat persembahan.

Saya mengharapkan pihak netizen sentiasa memberi kerjasama baik dengan menjadi mata, telinga dan lidah rakyat yang kasih dengan pembinaan budaya, adat resam dan masa depan cemerlang buat generasi muda. Semakin banyak pendedahan, kritikan, teguran mahupun pandangan positif bagi mengekang budaya liar semakin baik agar akhlak generasi muda terpelihara.

Tiada ulasan: