Khamis, 20 Julai 2017

Ku Nan nasihatkan penjawat awam jangan ‘termakan sumpah’

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengingatkan penjawat awam agar tidak menyebarkan sebarang rahsia kerajaan kepada umum.

Malah, katanya, beliau bimbang sekiranya penjawat awam tetap membocorkan rahsia kerajaan, mereka akan 'termakan sumpah'.

Ini kerana, setiap penjawat awam telah mengangkat sumpah sebelum memegang jawatan mereka.

"Saya minta penjawat awam, mereka semua ada angkat sumpah. Jangan kena makan sumpah sebab benda ini, kalau rahsia kerajaan, janganlah sebarkan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita yang menyoal berhubung sikap sesetengah penjawat awam yang didakwa membocorkan maklumat rasmi kerajaan.

Selain itu, ketika ditanya sekiranya perkara sama berlaku dalam Umno, setiausaha agung parti itu berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap anggota yang membocorkan maklumat.

"Kita dalam Umno bila ada mesyuarat
tertentu, kita tak benarkan mereka sebarkan apa yang ada dalam mesyuarat.

"Kalau mesyuarat itu tertutup, kita akan ambil tindakan," katanya.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan, insiden melibatkan penjawat awam menyalahgunakan teknologi komunikasi dan maklumat seperti di media sosial semakin kerap didengar.

Dalam kolum yang ditulis Felo Penyelidik Kanan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Dr Abdul Gapar Abu Bakar, berkata, penjawat awam didapati menyalahgunakan media sosial untuk membocorkan maklumat rasmi kerajaan dengan memberikan pandangan negatif terhadap proses kerja dan tadbir urus jabatan atau agensi kerajaan di mana mereka ditempatkan.

Malah, katanya, terdapat juga penjawat awam yang mencaci dan menghina penjawat awam pada peringkat pengurusan dan juga anggota pentadbiran atas sebab tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat serta membekalkan maklumat terperinci keberadaan mereka terutama penjawat awam dalam sektor keselamatan.


Tiada ulasan: