Isnin, 10 Julai 2017

KJ: Kenapa salahkan menteri lain atas skandal forex?

MALAYSIAKINI


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata anggota kabinet di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh dipersalahkan atas skandal tukaran wang asing melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tuduhan pengkritik yang mempersoalkan mengapa Datuk Seri Najib Razak yang menganggotai kabinet semasa itu berdiam diri terhadap skandal  berkenaan.

"Pasukan petugas khas mengenai kerugian forex BNM oleh Sidek (Tan Sri Mohd Sidek Hassan) menyimpulkan bahawa kabinet telah dikelirukan dan kerugian sebenar ditutup, jadi bagaimana menyalahkan menteri lain?" katanya menerusi Twitter.

Beliau memberi respons terhadap laporan The Malaysian Insight yang mempersoalkan sekiranya Najib ada bercakap mengenai pelbagai skandal semasa berada dalam kerajaan pimpinan Mahathir.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga membangkitkan soalan yang sama bulan lepas.

Pejabat Najib dalam kenyataan bulan lepas berkata pasukan petugas khas tersebut mendapati ada percubaan untuk menyembunyikan fakta berkaitan kerugian itu, dengan memberi maklumat mengelirukan kepada kabinet dan parlimen

Pasukan petugas itu diketuai bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Skandal forex yang berlaku akhir tahun 1980-an dan awal 1990-an semasa Mahathir menjadi perdana menteri menyaksikan BNM mengalami kerugian besar.

Berikutan laporan pasukan petugas itu, kabinet bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi melihat perkara itu.

Pembangkang mengalu-alukan RCI berkenaan walaupun hampir 30 tahun lewat, tetapi turut menuntut RCI terhadap skandal 1MDB yang didakwa telah diabaikan kerajaan.

Mahathir berkata, isu mengenai forex telah dibawa ke parlimen dan beliau memutuskan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Mahathir berkata, Najib cuba mencari jalan supaya beliau dipenjarakan, manakala pembangkang mendakwa RCI forex merupakan cubaan untuk mengalih perhatian daripada skandal 1MDB.

Tiada ulasan: