Isnin, 3 Julai 2017

Khairuddin nak ke Barbados lepas laporan Jho Low mahu beli bank

MALAYSIAKINI


Bekas anggota Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mahu Jabatan Imigresen mengetepikan larangan perjalanan ke atasnya kerana beliau mahu "bercuti" ke Barbados dan Seychelles.

"Dua negara ini menjadi idaman perjalanan terakhir saya. Niat saya untuk bercuti, berehat, makan angin dan kemungkinan kerja sambil bercuti.

"Kedua destinasi ini merupakan pilihan terakhir saya untuk melancong. Lepas itu kalau nak sekat perjalanan saya lantaklah. Asalkan impian ke dua negara ini tercapai cukuplah!" tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau melampirkan kenyataan itu bersama pautan ke satu artikel mengenai rancangan ahli peniagaan kelahiran Pulau PInang, Jho Low untuk membeli sebuah institusi kewangan di Barbados.

Menurut Wall Street Journal, E-mel seorang eksekutif kewangan di sebuah firma di Dubai mendedahkan rancangan Low untuk membeli bank di Carribean itu sebagai tempat menyimpan wang. E-mel itu kemudian dibocorkan.

Eksekutif itu menulis bahawa Low "merasa terdorong untuk membeli sebuah bank sebagai tempat untuk meletakkan dananya termasuk rakan-rakan dan keluarga."

Secara kebetulan, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengatakan salah sebuah syarikat palsu, Aabar yang dituduh menggunakan dana yang telah dicuci dari 1MDB, didaftarkan di Seychelles.

Khairuddin bersama peguam Matthias Chang membuat laporan terhadap 1MDB di beberapa pihak berkuasa asing pada 2015.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana mensabotaj ekonomi.

Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lalu.

Mahkamah juga mengarahkan pasport mereka dipulangkan, namun Khairuddin berkata beliau masih tidak dibenarkan meninggalkan negara ini.

DOJ memfailkan sama sivil bagi merampas aset bernilai AS$1 bilion yang didakwa dibeli di Amerika Syarikat menggunakan wang 1MDB.

DOJ menyatakan aset berkenaan dibeli oleh Low, namun ahli perniagaan itu mendakwa kes itu sebagai tidak berasas

Tiada ulasan: