Rabu, 19 Julai 2017

Kerajaan kaji cadangan iktiraf India Muslim bumiputera – PM

MALAYSIA GAZETTE
Reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Ayob Khan Muhamad Yakub (depan, tiga kanan) sambil diperhatikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Majlis Jamuan Hari Raya dan Hari Keluarga NGO-NGO India Muslim Semalaysia di Maeps, Serdang. foto IQBAL BASRI
 
SERDANG – Kerajaan akan mengkaji untuk menerima tuntutan komuniti India Muslim supaya diiktiraf sebagai bumiputera, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 “Saya mendengar tuntutan yang dibuat oleh Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) Dhajudeen Shahul Hameed dan saya menerima bahawa India Muslim adalah sebagai bumiputera.

“Bagaimanapun, soal bagaimana ia dilaksanakan memerlukan kajian lebih mendalam, sama ada dari segi pentadbiran atau perwartaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) India Muslim Semalaysia di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini malam ini.

Pengumuman itu mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 15,000 pemimpin dan wakil NGO bersama keluarga masing-masing yag hadir pada sambutan itu.

Selain itu, Najib yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional turut menerima pandangan Dhajudeen untuk mendirikan satu tanda mercu bagi pusat komuniti India Muslim agar wakil-wakil masyarakat itu dapat berunding mengenai isu-isu semasa melibatkan kemajuan negara.

Dalam majlis itu, Dhajudeen telah menuntut tiga perkara iaitu mewartakan komuniti itu sebagai bumiputera, mendirikan satu mercu tanda India Muslim di Kuala Lumpur atau Putrajaya serta melantik seorang pengawai khas di Jabatan Perdana Menteri bagi mengelolakan hal ehwal kira-kira satu juta komuniti India Muslim.

Pada majlis yamg sama, Najib turut mengumumkan kira-kira 10,000 Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) telah bersetuju untuk memberikan diskaun sehingga 20 peratus berkuatkuasa serta-merta di semua premis perniagaan mereka sebagai menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi golongan Orang Kelainan Upaya akan menikmati kad diskaun sebanyak 20 peratus, siswa (10 peratus) manakala pemegang kad pengguna Friends of KPDNKK akan menikmati diskaun sebanyak lima peratus.

Kehadiran begitu ramai pemimpin dan ahli-ahli NGO India Muslim bersama keluarga masing-masing malam tadi membuatkan Perdana Menteri berasa kagum, terharu dan teruja melihat sokongan komuniti itu terhadap kepimpinan beliau dan kerajaan Barisan Nasional.

“Saya juga diberitahu ada satu lagi dewan (Dewan C) juga dipenuhi dengan penyokong BN. Oleh itu, saya boleh membuat kesimpulan bahawa komuniti dan masyarakat India Muslim di dalam negara kita merupakan penyokong kukuh dan setia kepada BN.

“Sumbangan India Muslim kepada negara sejak dahulu amat besar terutama sekali dalam bidang menyediakan makanan restoran. Ada orang di sebelah sana, ada orang tertentu yang juga India Muslim. Tetapi saya percaya komuniti India Muslim lebih menyokong saya dan berharap hubungan ini akan berterusan selama-lamanya,” katanya.

“Saya mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan negara teratas 20 negara di dunia.

Hari ini kita sambut hari raya, dan tidak lama lagi, kita akan sambut satu lagi hari raya (pilihanraya).

“Pada hari raya itu, saya memerlukan sokongan India Muslim bagi menjadikan Malaysia tetap maju di bawah kepimpinan saya.

“Kita merupakan sebuah kerajaan bersifat inklusif yang sentiasa mengutamakan rakyat dan melakukan perubahan serta transformasi kepada negara. Kalau anda semua mahu kerajaan melakukan transformasi pada negara, semua komuniti besar dan kecil termasuk India Muslim akan terus dibina oleh kerajaan BN,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: