Isnin, 24 Julai 2017

Keputusan speaker tolak soalan berkaitan 1MDB muktamad

BERNAMA

Parlimen 1MDB


Penolakan pertanyaan soal jawab lisan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada sesi Dewan Rakyat kali ini, antara lain adalah disebabkan faktor subjudis, kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata keputusan penolakan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan ia adalah muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat 99.

Saya dah dengar semua, saya dah bagi peluang, semua yang tak berpuas hati saya dah bagi peluang untuk beri penjelasan.

Sila rujuk Peraturan Mesyuarat 99, kalau kita tidak puas hati dengan keputusan Yang Berhormat Speaker. Keputusan Speaker adalah muktamad, kalau tidak puas hati boleh buat usul persendirian, katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sesi soal jawab Dewan Rakyat sebelum itu kecoh selepas beberapa anggota Parlimen
mempertikaikan keputusan Speaker menolak pertanyaan mereka berkenaan isu itu.

Antara lain, Datuk Seri Wan Azizah (PKR-Permatang Pauh) mempertikai penolakan soalannya sama ada kerajaan bersedia membentangkan kertas putih bagi menjelaskan campur tangan asing berkenaan skandal 1MDB.

Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) turut tidak berpuas hati selepas soalannya mengenai langkah kerajaan membersihkan nama negara selepas banyak kenyataan dikeluarkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dilihat menjejaskan nama negara turut ditolak atas sebab soalannya bersifat sangkaan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata bukan hanya soalan anggota Parlimen pembangkang yang ditolak, malah soalannya mengenai mengapa anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng boleh membeli rumah di bawah harga pasaran turut ditolak Speaker.

Soalan saya pun kena tolak tetapi saya lihat bahawa keputusan Speaker adalah muktamad, saya diam, kita ikut peraturan, katanya.

Tiada ulasan: