Selasa, 4 Julai 2017

Kenapa Kit Siang Meragui RCI Forex?

Khairul Amir

Kit Siang


ISTILAH suruhanjaya biasanya merujuk kepada satu badan pentadbiran yang bebas daripada kawalan kerajaan.

Bebas daripada pengaruh politik dan hanya penjawat awam, hakim, dan golongan profesional boleh menganggotainya.

Suruhanjaya mestilah bersifat adil dan berkecuali dan anggotanya dilantik oleh Yang di Pertuan Agong.

Terdapat dua jenis suruhanjaya iaitu suruhanjaya tetap dan sementara.

Suruhanjaya sementara bersifat sementara dan ditubuhkan untuk tujuan khas seperti mengkaji isu khas yang timbul, menyiasat salah guna kuasa, malapetaka alam dan penyelewengan seterusnya mengemukakan syor-syor untuk mengatasinya.

Selepas tamatnya tugas, suruhanjaya Itu akan dibubarkan, contohnya Suruhanjaya Diraja Khas (RCI).

Melihat kepada fungsi dan peranan suruhanjaya, tidak sewajarnya kita mempertikai dan meraguinya.

Ini kerana suruhanjaya berkenaan, adalah badan bebas yang dilantik untuk menyiasat sesuatu perkara.

Tetapi timbul persoalan daripada rakyat kenapa Lim Kit Siang meragui penubuhan RCI bagi menyiasat skandal mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Apa sebenarnya yang berlaku?

Isu kerugian yang dialami BNM akibat kegiatan perdagangan mata wang itu menggemparkan negara pada 1994 namun tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat.

Pada masa itu, pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mempersoalkan mengapa BNM dilibatkan dalam kegiatan spekulasi mata wang yang berisiko tinggi untuk mengalami kerugian.

Walau bagaimanapun, pada 3 April 1994, Mahathir dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion yang dialami oleh BNM dalam transaksi perdagangan wang asing pada 1993 tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara.

Pada 26 Januari 2017, bekas Penolong Gabenor BNM ketika itu, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan BNM mencatatkan kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan bank pusat itu.

Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar adalah jauh lebih besar.

Menurut Abdul Murad, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan tentang kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

Transaksi berbentuk spekulasi melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk pound sterling, dolar Amerika Syarikat (AS), mark Jerman dan yen itu direkodkan oleh seorang kakitangan berpangkat rendah BNM.

Apa yang pelik, tiada siasatan lanjut dijalankan walaupun kerugian mencecah AS$10 bilion.

Pada 21 Jun 2017, Kabinet sebulat suara bersetuju sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar 1980-an dan 1990-an.

Keputusan tersebut dicapai hasil syor Pasukan Petugas Khas (PPK) siasatan kerugian berkenaan yang telah selesai melaksanakan tanggungjawabnya.

Dalam laporan tersebut, PPK mendapati wujudnya kes prima facie bagi kerugian BNM sekitar tahun 1980-an dan 1990-an dan telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Penubuhan RCI ini akan membolehkan siasatan terperinci yang lebih menyeluruh dapat dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan dan dilindungi (immunity) di bawah Akta 119.

Kini, RCI telah pun ditubuhkan dan pastinya selaras dengan hasrat Kit Siang dan pembangkang.

Tetapi Kit Siang yang kini ‘berkawan baik’ dengan Mahathir meragui proses siasatan awal PPK, diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan lebih-lebih lagi berhubung mengapa PPK mengesyorkan penubuhan RCI.

Sedangkan pada awal tahun 1990-an, Kit Siang merupakan pemimpin pembangkang paling lantang mengkritik isu kerugian BNM tersebut.

Kit Siang pada ketika itu mendesak kerajaan di bawah pimpinan Mahathir selaku Perdana Menteri pada masa itu agar menubuhkan RCI.

Timbul persoalan, kenapa Kit Siang sentiasa mempertikai tindakan kerajaan meskipun ia dilaksanakan untuk melindungi kepentingan rakyat?

Ini kerana penubuhan RCI itu adalah memenuhi hasrat Penasihat DAP itu sendiri yang sejak 26 tahun lalu mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bagi mencari dalang sebenar menyebabkan negara mengalami kerugian kira-kira RM30 bilion akibat spekulasi mata wang.

Seribu persoalan kini bermain diminda rakyat di negara ini kenapa Kit Siang berbuat demikian?

Adakah Kit Siang mengetahui segala rahsia berhubung skandal BNM itu?

Umum mengetahui, sebelum ini, Kit Siang dan Mahathir saling mengkritik dan menentang antara satu sama lain kerana perbezaan politik.

Kita Siang yang juga Penasihat DAP pernah menggelarkan Mahathir Mohamad sebagai ‘penyangak’.
Mahathir pula yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggelarkan Kit Siang sebagai `bapa segala rasis’.

Kini apa sudah jadi. Bapa segala rasis dan penyangak sudah boleh duduk semeja dan bekerjasama politik dalam satu gabungan, Pakatan Harapan.

Mahathir membela Kit Siang dan Kit Siang juga membela Mahathir.

Adakah tindakan Kit Siang meragui RCI forex kerana mahu melindungi ‘musuh’ politik lamanya itu?

Adakah atas sebab itu, Kit Siang membuat pusingan U dengan mempertikai penubuhan RCI?

Untuk tujuan apa Kit Siang berbuat demikian?

Tentunya atas kepentingan politik semata-mata.

Mahathir mengalu-alukan cadangan penubuhan RCI berkenaan.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mahu siasatan turut dilakukan dalam isu melibatkan dana RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenapa perlunya RCI bagi menyiasat skandal BNM berkenaan?

Sememangnya RCI perlu diwujudkan bagi menyiasat isu perdagangan mata wang tersebut.

RCI perlu mendapatkan penjelasan Mahathir dan Daim memandangkan kedua-duanya paling berkuasa sewaktu aktiviti forex itu berlaku.

Mengikut hierarki pentadbiran kerajaan pada masa itu, amat wajar Mahathir dan Daim dipanggil untuk memberi keterangan kerana BNM terletak di bawah Kementerian Kewangan.

Impak daripada skandal ini adalah berpanjangan dan dirasai sehingga kini, maka amat kritikal RCI ditubuhkan.

BNM telah kehilangan jumlah rizab yang banyak kerana aktiviti forex pada masa itu dan siasatan segera perlu dilakukan.

Ketepikan kepentingan politik dan biarlah RCI yang akan diwujudkan menyiasat perkara itu sedalam-dalamnya.

Adakah Kit Siang mahu menutup kesalahan Mahathir dengan mempertikai siasatan PPK dan penubuhan RCI?

Hanya Kit Siang dan Mahathir mengetahui perkara itu kerana kedua-duanya kini merupakan `rakan baik’.

Rakyat juga ingin mengetahui kebenarannya dan sewajarnya RCI diberikan ruang sepenuhnya untuk menyiasat skandal berkenaan.

Janganlah pula dilibatkan hal politik dalam siasatan skandal itu.

Biar RCI sahaja yang menyiasat isu ini dengan telus.


Tiada ulasan: