Isnin, 10 Julai 2017

Kenapa Ibadah Haji Jadi Isu Politik?

Khairul Amir

Ibadah Haji


SOAL ibadah haji, ia adalah urusan agama dan mereka yang menunaikan ibadah berkenaan adalah tetamu jemputan Allah SWT.

Persoalannya, kenapa ada pihak yang terus mempolitikkan ibadah haji? Adakah menjadi satu kesalahan jika kita mengikuti ibadah berkenaan menerusi program 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Adakah individu atau mana-mana berhak menentukan haji seseorang itu diterima Allah SWT atau tidak?

Oleh itu, berhati-hati dalam membuat tuduhan.

Tidak salah untuk bertanya mengenai program haji tajaan 1MDB bagi mendapat penjelasan tetapi jangan sampai membuat tuduhan atau berhujah bagaikan mengeluarkan fatwa.

Ingatlah, para jemaah haji yang menyertai program itu tidak mempunyai matlamat lain. Mereka hanya mahu menjejak kaki di tanah suci dan beribadah kepada Allah SWT sepenuhnya.

Justeru janganlah memperkecilkan ibadah yang mereka laksanakan.

Soal sama ada ibadah mereka diterima atau tidak, ini bukan urusan manusia tetapi urusan Allah SWT.

Lagipun tiada gunanya kita mengutip dosa dengan membuat tuduhan terhadap satu perkara yang kita sendiri tidak jelas mengenainya.

Tetapi adakah mereka yang terus mempolitikkan ibadah haji sedar mengenainya termasuk berhubung dosa dan pahala?

Jika mereka sedar, sudah tentu mereka tidak akan mengkritik atau mempertikai program melaksanakan ibadah haji.

Adakah mereka mempertikai program haji 1MDB disebabkan isu kontroversi yang sedang melanda syarikat itu?

Pelbagai andaian yang mereka buat termasuklah mempersoalkan apakah penghantaran jemaah haji tersebut sah atau tidak kerana mendakwa sumber wang yang digunakan diragui.

Mereka memperlekehkan program itu biarpun ia dilaksanakan oleh kerajaan dengan niat baik iaitu menghantar umat Islam menunaikan ibadah haji.

Persoalannya, adakah individu-individu yang melemparkan dakwaan itu mempunyai bukti kukuh bagi membolehkan mereka mempertikaikan termasuk sewenang-wenangnya membuat tuduhan berhubung sumber kewangan bagi membiayai program tersebut?

Kalau sekadar terpedaya dengan hujah, tohmahan dan dakwaan pihak-pihak tertentu ia belum memandai.

Dalam Islam, Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.”

Adakah kelompok yang memperlekehkan program khas haji itu melakukan perkara sedemikian? 

Mereka pastinya tidak peduli.

Mereka hanya berhujah berdasarkan hati dan minda yang sudah dikotori oleh politik kepartian dan kebencian.

Lanjutan itu, biarpun perkara baik dilakukan oleh kerajaan, mereka tetap mahu melihatnya dari sudut negatif waima dalam soal menghantar umat Islam menunaikan haji sekalipun.
Mereka menjatuhkan hukum sewenang-wenang.

Mereka menghina jemaah-jemaah haji yang mengikuti program itu dengan istilah memualkan termasuklah ‘Haji Robin Hood’ manakala alim ulama yang mempertahankan program itu dianggap hujah ‘ikan pekasam’.

Siapa mereka untuk melakukan penghinaan sedemikian?

Apa yang lebih sedih, kaum sendiri yang dihina.

Sebenarnya, puak-puak seperti inilah yang menggembirakan musuh umat Islam kerana mereka tidak perlu melakukan apa-apa bagi memperkecilkan program seumpama itu.

Ini memandangkan akan ada individu atau kelompok yang bersedia menjadi ‘balaci’ kepada mereka.

Selama ini pun, akibat kepentingan politik, sudah ramai pemimpin-pemimpin Melayu yang bersedia menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada pihak lain bagi meranapkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga mempertikai program haji tajaan 1MDB.

Mahathir mendakwa haji mereka yang mengikuti program haji tajaan 1MDB sebagai tidak mabrur.
Siapa kita untuk menentukan haji seseorang itu mabrur atau tidak?

Sedih melihat keadaan umat Islam yang bercakaran dan mengkritik sesama sendiri. Ibadah di mana umat Islam menjadi tetamu Allah pun dipolitikkan.

Sudah tiada isu lainkah untuk dipolitikkan?

Atau pihak berkenaan sudah kering idea dan ketandusan isu?

Atau perkara itu dilakukan demi mewujudkan keraguan dalam kalangan umat Islam yang menyertai program haji tajaan 1MDB?

Kalau program khas itu mahu dilihat atau diukur dari sudut politik, kita juga berhak bertanya, jika mereka yang menentang program tersebut disebabkan ideologi politik berbeza, apakah kerajaan negeri di bawah kepemimpinan parti atau sekutu mereka pernah melaksanakannya?

Sebagai contoh PAS sudah memerintah Kelantan sejak 1990 manakala PKR bersama DAP dan PAS telah menerajui kerajaan negeri Selangor sejak 2008.

Sepanjang tempoh itu adakah mereka menganjurkan program menaja imam, bilal atau ketua kampung menunaikan ibadah haji?

Jika parti sendiri tidak berupaya melaksanakan program seperti itu, janganlah memperlekehkan usaha baik pihak lain.

Berpolitik ada batasnya. Usahlah ‘menyerang’ sesuatu program yang baik dianjurkan oleh kerajaan kerana kejahilan berpolitik.

Biarkan sahaja kelompok-kelompok yang terus mahu mempolitikkan perkara itu. Mungkin mereka sudah merasakan pahala sudah terlalu banyak sehingga sanggup memperlekehkan ibadah orang lain.
Sebagai umat Islam, teruslah beribadah mendekatkan diri dengan Allah.

Biarlah kelompok yang mengkritik ibadah haji berkenaan lalai dan leka dengan perbuatan tidak berfaedah mereka.

Apa yang kita mahu kejar adalah pahala, bukannya dosa.


Tiada ulasan: