Selasa, 11 Julai 2017

Kemelut berterusan dalam PH bukti bukan PAS yang bermasalah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menegaskan ia bukan parti yang mencetuskan masalah di dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini memandangkan gagasan pembangkang yang baru iaitu Pakatan Harapan (PH) tetap bercelaru.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kemudiannya berkata wujud segolongan pihak di dalam gagasan itu terlalu mengejar kepentingan sehingga berlakunya kemelut dalaman sebagaimana yang dilaporkan sejak kebelakangan ini. 
 
"Dahulu mereka tuduh PR ada masalah kerana ada PAS. Kini PAS dah keluar, dan (mereka) wujudkan PH. Namun PH nampak lebih bercelaru, lebih berkecamuk berbanding Pakatan Rakyat (PR). 
 
"Pada pandangan saya punca besar kerana tidak ada kejujuran dari setiap pihak dalam bekerjasama. Dalam kerjasama politik kena ada kejujuran dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain," katanya ketika ditemui Antarapos.
 
Menyentuh kegagalan PH menamakan barisan kepimpinannya, Mohd Amar berpandangan kemelut itu terjadi kerana masing-masing ingin mendominasi.
 
Sebelum ini gabungan berkenaan bertelagah dalam soal menamakan siapakah yang layak untuk menyandang jawatan Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden.
 
PKR didakwa tidak bersetuju dengan cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi dan Presiden PH.
 
Selain isu barisan kepimpinan PH, gagasan itu juga pernah berselisih pandangan dalam soal siapa yang sesuai diangkat sebagai Perdana Menteri.
 
"Masing-masing hendak dapat kelebihan dan mahu jadi ketua, sehinggakan bergaduh siapa yang hendak jadi PM. Maka ia beri gambaran buruk kepada rakyat. Rakyat yang berhasrat menukar BN kepada pembangkang merasa ragu dengan apa yang berlaku. Jika isu-isu ini tidak diselesaikan, maka usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN) makin menjadi susah," demikian menurut Mohd Amar.
 
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan percaya kekalutan di dalam Pakatan Harapan turut 'disumbangkan' oleh Dr Mahathir sendiri yang mungkin mempunyai agenda tertentu.
 
"Kerana (sikap) semua pihak. Dr Mahathir menambahkan kerancakan pertembungan ini. Saya rasa Dr Mahathir bersama PH bukan semata-mata menumbangkan Najib, sebaliknya ada agenda tersembunyi yang kita tidak pasti. Namun saya percaya ada agenda tersirat di sebalik usaha Mahathir sebab itu jadi kelam-kabut semuanya," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: