Jumaat, 28 Julai 2017

Kajol minat berlakon filem Malaysia jika skrip menarik

 BERNAMA

Kajol Devgan


Ratu Bollywood, Kajol Ajay Devgan tidak menolak tawaran untuk berlakon dalam filem tempatan jika skripnya baik dan menarik.

Heroin filem Dilwale yang berusia 43 tahun itu berkata sebagai seorang pelakon, beliau lebih mementingkan skrip sesebuah filem yang ingin dibintanginya.
"Skrip saya adalah hero saya dan itulah yang lebih penting. Sudan tentu ya (mahu berlakon), jika ada peluang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan teaser filem baharu lakonannya Velai Illa Pattadhari 2 (VIP2) versi Hindi di Jalan Masjid India di sini malam tadi.
Bintang sensasi Bollywood yang muncul semula dalam filem Tamil selepas 20 tahun tidak berlakon dalam filem Tamil, diiringi oleh hero filem tersebut Dhanush Kasthuri Raja dan pengarahnya R.Soundarya yang merupakan anak kepada super star filem Tamil, Rajinikanth.

Kajol turut melahirkan rasa terharunya dengan sambutan yang diberikan oleh kira-kira 2,000 peminatnya yang membanjiri kawasan itu sejak pukul 4 petang semalam untuk bertemu dengannya dan barisan pelakon filem tersebut.

Peminat yang merangkumi pelbagai bangsa bersorak sebaik sahaja Kajol dan Dhanush melangkah masuk ke kawasan tersebut.

Dhanush yang terkedu seketika apabila melihat sambutan peminat Malaysia turut meluahkan perasaan gembira dan yakin filem VIP 2 itu akan pecah panggung.

Beliau juga turut menyanyikan sebuah lagu Tamil berjudul 'Valkai Thedi' atas permintaan peminat yang hadir.

Sementara itu Pengarah Urusan Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer yang mendapat hak mengedar filem itu di Malaysia berkata pengedaran dan promosi filem tersebut di negara ini adalah untuk membawa masuk lebih ramai pelancong ke Malaysia melalui industri perfileman.

"Inisiatif ini secara tidak langsung dapat menambah pendapatan negara melalui aliran mata wang dari negara luar," katanya.

Abdul Malik yang juga penerbit bersama filem lakonan Rajinikanth bertajuk 'Kabali' turut berhasrat untuk membawa lebih banyak filem Tamil dan Hindi ke Malaysia bagi tujuan penggambaran.

VIP2 merupakan sekuel daripada filem pertama yang disiarkan pada 2014 yang akan ditayangkan di layar perak dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telegu pada Ogos ini.

Tiada ulasan: