Rabu, 19 Julai 2017

Janji selesai masalah kerakyatan kaum India sekadar gimik politik BN


Roketkini.com

IPOH: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak serius menangani masalah kerakyatan masyarakat India negara ini yang telah berlanjutan sejak puluhan tahun lalu.

Lebih mengecewakan, isu tersebut seringkali dijadikan umpan politik BN setiap kali menjelang pilihan raya umum untuk mendapatkan sokongan.

Menurut Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, program-program yang dilancarkan kerajaan seperti MyDaftar dan MegaDaftar untuk menangani perkara ini sekadar gimik politik.

Malah, terdapat kira-kira 5,000 permohonan status kewarganegaraan kaum India masih lagi dalam pertimbangan berdasarkan jawapan Parlimen oleh Kementerian Dalam Negeri pada sesi lalu,

“Selain daripada 5,000 orang yang menunggu kelulusan, terdapat ramai lagi yang masih belum membuat permohonan status kewarganegaraan. Ramai diantara mereka tidak ada keyakinan terhadap kerajaan Barisan Nasional.

“Peliknya, kenapakah 5,000 permohonan masih belum diluluskan oleh KDN? Ini membuktikan pihak kerajaan tidak berniat dalam menyelesaikan masalah isu kewarganegaraan yang dihadapi oleh kaum India,” katanya dalam kenyataan.

Apa yang lebih mendukacitakan kata Siva, ada pemohon mendakwa permohonan status kewarganegaraan adalah sia-sia, merugikan masa dan wang.

“Kecurigaan mereka itu ada asasnya kerana pengalaman masa lampau.

“Ramai juga pernah ditipu oleh orang tengah yang kononnya dapat membantu mendapatkan status kewarganegaraan,” kata beliau.

Isu yang telah menjadi mainan politik BN sejak puluhan tahun ini kata Siva mencerminkan sikap sebenar mereka yang tidak serius menyelesaikan masalah masyarakat India negara ini.

“Hakikatnya, kerajaan tidak ada kemahuan politik (political will) untuk menyelesaikan masalah ini.

“Kerajaan sekali lagi telah memberi janji kosong melalui Indian Blue Print sebagai satu penyelesaian bagi masalah ini. Tetapi, pastinya janji-janji ini tidak akan ditunaikan selepas PRU14,” katanya lagi. -Roketkini.com


Tiada ulasan: